Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Petua dandan rambut sesuai wajah

    Rambut merupakan mahkota wanita yang bukan sahaja melambangkan kecantikan, malah menjadi sebahagian daripada identiti dan keyakinan diri. Dalam dunia moden, dandanan rambut wanita tidak lagi terhad kepada fungsi asas semata-mata, tetapi telah berkembang menjadi satu bentuk ekspresi diri, gaya hidup dan juga seni.

    Daripada potongan klasik hingga gaya kontemporari, pemilihan dandanan rambut sering dipengaruhi oleh faktor budaya, persekitaran, trend semasa serta keperibadian individu.

    Dengan pelbagai pilihan gaya, teknik dan produk penjagaan yang tersedia, wanita masa kini lebih bebas untuk meneroka dan mengekspresikan keunikan mereka melalui dandanan rambut yang sesuai dan menarik.

    Sama ada memotong atau mendandan rambut, kedua-duanya sering mencetus persoalan besar pada setiap wanita.

    Mereka kadang-kadang keliru mana satu yang sesuai dengan bentuk wajah mereka.

    Dandanan rambut sesuai wajah mampu meningkatkan keyakinan dan keterampilan awda. – Envato
    Gambar Envato

    Yang pastinya, rata-rata perempuan inginkan potongan atau dandanan yang tidak menampakkan bentuk wajah mereka nampak bulat atau tembam. Berikut dikongsi beberapa petua ketika mendandan rambut sesuai dengan wajah dan penampilan awda.

    WAJAH BULAT

    Bagi yang mempunyai wajah bulat, rambut belah tepi adalah paling sesuai. Lebih dalam belahan rambut, lebih jelas wajah runcing yang mahu dicipta. Potongan rambut berlapis-lapis boleh sahaja digayakan, akan tetapi jangan terlalu berlebih-lebihan.

    WAJAH EMPAT SEGI

    Bagi perempuan yang mempunyai wajah empat segi pula, gaya rambut belah tepi merupakan gaya yang sesuai, akan tetapi awda perlu memastikan gaya itu jangan terlalu ke tepi kerana ia mampu membuat bentuk muka kelihatan lebih maskulin. Belahan selari dengan bola mata paling sesuai dan seeloknya menutup sedikit bahagian dahi, jadi raut wajah nampak lebih lembut.

    WAJAH BENTUK HATI

    Sama seperti untuk awda yang berwajah empat segi, gaya belahan tepi paling sesuai untuk awda yang dikurniakan bentuk wajah bentuk hati. Tutup sedikit bahagian muka dengan rambut supaya bahagian pipi terserlah.

    WAJAH LONJONG

    Bagi yang mempunyai wajah lonjong mereka mempunyai dua pilihan, pertama ialah belah tengah. Namun potongan rambut mestilah dalam gaya potongan berlapis kerana awda ingin menyerlahkan tulang pipi supaya muka tidak nampak rata.

    Kedua, awda disarankan membuat potongan fringe untuk memendekkan sedikit bentuk wajah.

    WAJAH BUJUR

    Bagi perempuan yang mempunyai wajah bujur mereka dianggap bertuah kerana gaya belah tepi atau tengah, kedua-duanya adalah sesuai. Awda bebas bereksperimen dan setiap gaya menonjolkan karakter berbeza.

    Bagaimanapun, gaya rambut yang dibelah tengah mempunyai ciri-ciri klasik dan moden.

    Fringe juga salah satu alternatif untuk menyerlahkan lagi bentuk wajah awda. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda