Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Petua elakkan ‘plastik tidak berguna’

    ALBANY – Alam semula jadi membalut pisang dan oren dalam kulit, namun, di beberapa pasar raya moden, ia juga dibungkus atau dibalut dalam plastik.

    Bagi Judith Enck, itu adalah contoh plastik yang sia-sia. Lorong makanan anak damit juga membuatnya susah hati, dengan deretan buah-buahan, sayur-sayuran dan daging kisar dalam beg plastik sekali guna yang telah menggantikan balang kaca.

    Kurang daripada 10 peratus plastik dikitar semula. Kebanyakannya ditanam, dibakar atau dibuang. Kadar kitar semula untuk kaca, aluminium dan kadbod jauh lebih tinggi. Selain itu, pembungkusan kadbod atau kertas boleh terbiodegradasikan. Tema global untuk Hari Bumi baru-baru ini ialah antara planet dengan plastik. Pengeluaran plastik terus meningkat secara global dan dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2050 jika tiada perubahan.

    Kebanyakan plastik diperbuat daripada bahan api fosil dan bahan kimia. Ketika dunia beralih daripada menggunakan bahan api fosil untuk elektrik dan pengangkutan, plastik menawarkan penyelesaian bagi syarikat minyak dan gas sebagai pasaran yang boleh berkembang.

    Gerakan alam sekitar Hari Bumi menyeru ‘penamatan plastik demi kesihatan manusia dan planet’. Manusia semakin terdedah kepada zarah-zarah kecil plastik melalui udara, makanan dan minuman. Walaupun penyelidik mengatakan lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan kesannya terhadap kesihatan manusia, jutaan tan plastik berakhir di lautan setiap tahun.

    Produk tenusu dalam pembungkusan plastik diletakkan di penyejuk di pasar raya di New Orleans. – AP
    Gambar AP
    Air dalam botol plastik dilihat di rak di pasar raya di New Orleans. – AP
    Tortilla dalam pembungkusan plastik dilihat berhampiran botol kaca dan plastik di pasar raya di New Orleans. – AP

    Minggu lalu, beribu-ribu perunding dan pemerhati yang mewakili kebanyakan negara di dunia berkumpul di Ottawa untuk merangka perjanjian bagi mencuba menamatkan tahap pencemaran plastik yang meningkat dengan pesat.

    Plastik ada di mana-mana dalam masyarakat moden. Itu jelas apabila awda pergi membeli-belah di pasar raya, kata Enck, bekas pentadbir wilayah Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) yang kini mengetuai kumpulan advokasi Beyond Plastics. Terdapat perkara yang boleh dilakukan oleh pembeli jika mereka ingin mengurangkan penggunaan plastik.

    Dalam lawatan baru-baru ini ke Honest Weight Food Coop di Albany, Enck membeli mentega kacang dan yogurt dalam bekas kaca. Dia meminta ikan yang dibelinya dibungkus dengan kertas dan tidak dimasukkan ke dalam beg plastik. Dia mengelak daripada membeli lobak merah yang dibungkus dan melepasi daun selada yang dibungkus dalam apa yang dipanggilnya ‘keranda plastik’.

    Dia juga membawa beg beli-belah yang boleh digunakan semula di dalam keretanya, satu amalan biasa di New York sejak negeri itu melarang penggunaan beg plastik beberapa tahun lalu.

    “Langkah-langkah kecil juga memberikan kesan kerana pasar raya besar perasan apabila orang meminta bahan yang kurang dibungkus. Juga, anak-anak kita memberikan perhatian. Jika mereka ikut membeli-belah bersama kita, kita boleh bercakap tentang mengapa kita memilih balang kaca dan bukannya bekas plastik, ini adalah peluang untuk pendidikan,” katanya.

    Temu bual berikut telah disunting untuk kejelasan dan keringkasan.

    BAGAIMANAKAH AWDA MENGELAKKAN PEMBUNGKUSAN PLASTIK DAN PRODUK DI PASAR RAYA?

    Saya memberitahu semua orang bahawa awda tidak akan menjadi sempurna, tetapi lakukan yang terbaik dan fokus pada perkara yang paling kerap awda beli. Saya tidak boleh teruskan membeli botol jus oren plastik itu. Jadi apa yang saya lakukan untuk jus adalah, saya membeli bekas kaca yang sangat bagus dengan penutupnya. Manakala untuk jus dan limau, saya hanya membeli yang telah dibekukan. Awda mengelakkan plastik sepenuhnya.

    Ia mengambil sedikit masa untuk mencairkannya dan menambah tiga tin air. Kebanyakan orang boleh menguruskannya.

    RAMAI PEMBELI BERMULA DI LORONG BUAH-BUAHAN. APAKAH BEBERAPA PETUA?

    Saya membawa beg kain buah-buahan yang boleh digunakan semula kerana saya tidak mahu menggunakan beg plastik nipis itu. Jadi, jika saya memerlukan beberapa biji epal dan avokado, saya akan memasukkannya terus ke dalam beg buah-buahan yang boleh digunakan semula.

    Saya cuba membeli lobak merah yang tidak dibungkus dalam beg plastik. Saya tidak akan membeli pisang jika ia berada dalam beg plastik, walaupun di kedai saya biasanya tidak begitu, tetapi kadang-kadang saya pernah melihatnya. Ia agak mudah untuk membeli lada yang tidak dibungkus dalam beg plastik. Saya tidak pernah memasukkan brokoli ke dalam beg plastik. Awda tidak memerlukan banyak beg buah-buahan itu.

    Dilema sebenar ialah buah beri segar. Kini ia datang dalam plastik jenis kedua, yang sepatutnya boleh dikitar semula. Saya tahu bahawa Driscoll’s mula menjual strawberi dalam kotak kadbod kecil, yang saya tunggu-tunggu.

    APA YANG AWDA LAKUKAN APABILA PLASTIK TIDAK DAPAT DIELAKKAN?

    Untuk biskut, awda boleh mengitar semula kotak luar jika ia adalah kadbod, tetapi biasanya terdapat beg plastik di dalamnya atau beg berlilin yang tidak boleh dikitar semula.

    Tetapi awda boleh menggunakan beg berlilin itu atau beg plastik kecil itu jika awda mempunyai haiwan peliharaan. Saya tidak mempunyai haiwan peliharaan, tetapi rakan-rakan saya menggunakan beg roti dan beg kerepek apabila mereka mengutip najis haiwan peliharaan. Jadi mengapa membeli beg najis haiwan peliharaan, awda boleh menyimpan beg-beg tersebut.

    Saya menggunakan beg sampah biasa. Saya tidak terlalu risau tentang itu. Saya cuba untuk tidak mengisi sepenuhnya. Jika awda boleh mengurangkan penjanaan sisa awda, awda tidak akan membeli beg sebanyak itu. Saya fikir ia sangat penting untuk membuat kompos di rumah jika awda mempunyai ruang.

    DI MANAKAH AWDA MELIHAT PENINGKATAN?

    Lorong barangan rumah. Saya teruja dengan perubahan. Untuk detergen, awda boleh membeli jenis pekat. Saya hanya menggunakan serbuk dalam mesin pencuci pinggan.

    Saya amat mengesyorkan agar orang ramai mengelakkan pod plastik.

    Dan awda boleh mengitar semula kotak kadbod daripada sabun serbuk. Awda tidak perlu mendapatkannya dalam plastik. Saya juga berpendapat bahawa lorong minuman mempunyai peluang sebenar untuk kitar semula. Lebih baik daripada kebanyakan lorong lain.

    APA YANG BOLEH DILAKUKAN SUPAYA PEMBELI MEMPUNYAI LEBIH BANYAK PILIHAN?

    Kelebihan kertas, kadbod, kaca dan logam ialah ia boleh dibuat dengan mudah daripada kandungan kitar semula.

    Dan ia sebenarnya boleh dikitar semula. Awda boleh memasukkannya ke dalam tong kitar semula awda. Dan jika ia terbuang, kertas dalam kadbod, khususnya, tidak bertahan selama bertahun-tahun lamanya.

    Jika kita meluluskan undang-undang pembungkusan yang ketat untuk mengurangkan pembungkusan plastik di peringkat negeri atau kebangsaan, awda akan mempunyai jurutera pembungkusan yang memikirkan apa yang berlaku selepas pembungkusan digunakan.

    New York sedang mempertimbangkan undang-undang sekarang yang akan mengurangkan pembungkusan plastik.

    Melainkan kita mengguna pakai undang-undang baharu, ia tidak akan berubah kerana janji sukarela oleh syarikat-syarikat tidak mencukupi. Itulah satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi sekarang. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda