Oleh Raz AS –
Memancing bukan sekadar hobi ia adalah satu gaya hidup yang memerlukan kesabaran, kemahiran dan peralatan yang sentiasa berada dalam keadaan terbaik. Sama seperti mana-mana peralatan lain, joran dan reel memerlukan penjagaan rapi agar prestasinya kekal optimum dan tahan lebih lama.
Ramai pemancing, terutama yang masih baru dalam dunia memancing, sering terlepas pandang akan pentingnya rutin penjagaan dan pembersihan ini. Akibatnya, peralatan mudah rosak, berkarat atau tidak lagi berfungsi dengan lancar ketika diperlukan.
Langkah pertama dalam menjaga joran dan reel ialah memastikan ia dibersihkan setiap kali selepas digunakan, terutamanya jika memancing di laut. Air laut mengandungi garam yang sangat mudah menyebabkan karat dan kerosakan pada komponen logam.
Setiap kali pulang dari trip memancing, sebaiknya bilas joran dan reel menggunakan air bersih atau air paip. Jangan gunakan air bertekanan tinggi kerana ia boleh menyebabkan garam masuk lebih dalam ke dalam celah-celah kecil pada reel. Sebaliknya, gunakan aliran air sederhana dan lap dengan kain lembut.
Untuk reel, adalah penting supaya pemancing tidak hanya membersihkannya dari luar sahaja. Buka bahagian spool dan lihat jika ada pasir atau sisa garam yang tersekat.

Gunakan berus kecil atau kain kering untuk menanggalkan kotoran tersebut.
Pastikan awda melonggarkan drag sebelum menyimpan reel tersebut. Ini kerana tekanan yang berterusan boleh menyebabkan spring drag menjadi lemah dan akhirnya mengganggu daya ketahanannya semasa pertarungan dengan ikan.
Selain pembersihan, pelinciran juga adalah aspek penting dalam penjagaan reel. Gunakan minyak pelincir khas untuk reel yang boleh didapati di kebanyakan kedai peralatan memancing.
Titiskan sedikit minyak pada bahagian gear, bearing dan komponen-komponen yang sering bergerak. Ini akan membantu memastikan reel awda beroperasi dengan lancar tanpa bunyi kasar atau tersekat-sekat. Namun, elakkan penggunaan minyak secara berlebihan kerana ia boleh memerangkap habuk dan kotoran.
Joran pula perlu diperiksa secara berkala, terutama pada bahagian cincin yang sering bergesel dengan tali. Cincin yang retak atau rosak boleh menyebabkan tali pancing mudah putus atau haus. Awda boleh menggunakan kapas untuk menguji permukaan cincin bekenaan, jika kapas tersangkut, itu tandanya ada retakan halus pada cincin tersebut dan sebaiknya digantikan kepada yang baharu.
Bahagian pemegang joran juga perlu dibersihkan, terutama jika diperbuat daripada bahan EVA atau gabus. Cukup dengan air sabun suam dan kain lembut untuk menanggalkan kotoran, peluh dan bau hanyir yang mungkin melekat.
Penyimpanan joran dan reel juga memainkan peranan besar dalam ketahanan peralatan. Jangan sesekali meninggalkan joran di tempat panas seperti dalam kereta, kerana suhu tinggi boleh merosakkan struktur gentian joran. Simpan joran dalam kedudukan menegak atau di tempat khas seperti rak joran supaya ia tidak bengkok. Reel pula sebaiknya disimpan dalam beg atau kotak khas yang dilapik span untuk mengelakkan hentakan dan habuk.
Jika awda bercadang untuk tidak menggunakan peralatan dalam tempoh yang lama, pastikan semuanya telah dibersihkan, dikeringkan sepenuhnya dan disimpan di tempat yang kering dan tidak lembap. Kelembapan adalah musuh utama peralatan memancing kerana ia mempercepatkan proses pengaratan dan pertumbuhan kulat terutama pada bahagian pemegang dan tali pancing.
Penyelenggaraan berkala lebih baik daripada membiarkan peralatan rosak dan kemudian membaikinya. Kos membaiki atau menggantikan reel berkualiti tinggi boleh mencecah ratusan atau ribuan ringgit, sedangkan kos penyelenggaraan hanya melibatkan sedikit masa dan usaha. Lagipun, tiada siapa yang mahu menghadapi situasi di mana reel tersekat atau joran patah sewaktu sedang bertarung dengan ikan impian.
Bagi pemancing yang sering memancing di laut, penggunaan grease marine yang tahan karat juga sangat digalakkan. Ini akan melindungi bahagian dalam reel daripada kesan hakisan jangka panjang.
Ada juga pemancing yang memilih untuk menghantar reel mereka ke kedai servis profesional setahun sekali untuk penyelenggaraan menyeluruh, satu pelaburan yang sangat bijak jika awda memiliki reel yang high-end.
Menjaga joran dan reel bukanlah sesuatu yang sukar, tetapi ia memerlukan konsistensi.
Sedikit usaha selepas setiap trip memancing mampu memanjangkan jangka hayat peralatan dan memastikan prestasi terbaik pada setiap penggunaan.
Dengan penjagaan yang betul, peralatan memancing awda bukan sahaja tahan lama, tetapi juga sentiasa bersedia membantu awda menewaskan apa jua jenis ikan yang awda buru setiap waktu.