Oleh Raz AS –
Memancing di air keruh boleh menjadi satu cabaran besar bagi pemancing kerana keadaan air yang mengurangkan kebolehlihatan dan menyukarkan ikan mengesan umpan. Namun, dengan teknik dan strategi yang sesuai boleh meningkatkan peluang pemancing memperoleh hasil yang lumayan. Dengan itu sesi memancing boleh menjadi pengalaman yang menarik meski keadaan air yang kurang ideal.
Warna air atau fenomena air keruh biasanya disebabkan oleh hujan lebat, aliran air deras, atau kehadiran lumpur dan sedimen yang tinggi di sesuatu badan sungai, tasik dan sebagainya. Ini mengurangkan jarak penglihatan ikan dan menyukarkan mereka mengesan umpan yang pemancing sajikan atau persembahkan.
Walau bagaimanapun sesetengah spesies ikan lebih aktif di air keruh, seperti keli, sembilang, baung, tilapia dan lain-lain. Spesies ikan yang aktif di air keruh ini selaluinya mempunyai deria bau yang tajam bagi memudahkannya untuk mencari makanan. Selain itu sesetengah spesies ikan lagi mempunyai deria mengesan bunyi atau getaran yang sangat baik tanpa perlu bergantung pada deria penglihatan sepenuhnya.
Sementara itu suhu air juga boleh mempengaruhi tahap keaktifan ikan. Biasanya, ikan lebih aktif selepas hujan kerana oksigen di dalam air meningkat, meskipun begitu sekiranya hujan lebat turun berpanjangan ia boleh mengakibatkan suhu air turun sehingga menyebabkan ikan menjadi kurang aktif.
Dalam hal ini sekiranya memancing ketika selepas hujan, kawasan yang terlindung dengan arus yang perlahan atau kolam yang bertakung lebih sesuai dijadikan sasaran kerana ikan lebih cenderung berada di tempat-tempat yang berair tenang.
Ketika memancing semasa air keruh di mana penglihatan ikan terhad, penggunaan umpan yang berbau kuat seperti umpan busuk (umpan tapa), umpan yang digaul dengan bahan-bahan berbau seperti belacan, atau umpan yang telah diperap dengan bahan perasa seperti minyak ikan dan lain-lain merupakan antara pilihan umpan yang terbaik.
Sementara itu penggunaan umpan tiruan atau umpan hidup yang menghasilkan getaran seperti soft plastic dengan ekor bergetar, rattle bait, spinner bait atau apa sahaja jenis umpan tiruan yang menghasilkan bunyi ketika ditarik boleh membantu untuk menarik perhatian ikan dan seterusnya mengesannya.
Warna umpan tiruan juga boleh memainkan peranan ketika air keruh. Sesetengah pemancing mengesyorkan penggunaan umpan tiruan dengan warna terang seperti warna jingga, merah atau kuning untuk meningkatkan kebolehlihatan umpan.
Sesetengahnya lebih suka menggunakan warna-warna gelap seperti hitam, biru tua atau ungu, kerana kontras warna di mana umpan ini boleh menghasilkan bayang-bayang atau silhouette ketika berada di dalam air yang keruh.
Tidak kiralah yang mana awda pilih sama ada terang atau gelap yang pastinya elakkan daripada menggunakan umpan tiruan berbadan jernih, yang akan kelihatan halimunan di dalam air keruh.
Gunakan teknik gulungan perlahan atau slow retrieve tetapi secara berterusan tanpa berhenti, cukup sekadar umpan dapat menghasilkan aksi atau bunyi bagi membolehkan ikan mengesan umpan dengan lebih mudah melalui bunyi dan getaran yang dihasilkan. Jika gulungan terlalu laju, ikan tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk mengesan lokasi keberadaan umpan dengan tepat.
Memancing di air keruh bukanlah satu tugas yang mudah, tetapi dengan pengetahuan dan teknik yang betul, ia boleh menjadi aktiviti yang menyeronokkan serta produktif.
Dengan memilih umpan yang sesuai, menggunakan peralatan yang betul, dan memahami tabiat ikan di air keruh, pemancing boleh meningkatkan peluang untuk memperoleh tangkapan yang baik.
Jadi, jangan takut mencuba dan teruskan memancing walaupun keadaan air tidak ideal.