Boleh dikatakan mustahil jika ada yang menyatakan ‘tiada wangian sesuai dengan saya,’ pelbagai jenis wangian yang ditawarkan di pasaran pasti ada satu yang serasi. Baik dari segi nota harumannya, jenama, harga dan bentuk botol yang menawan menjadi pilihan.
MEMBELI WANGIAN
Apabila awda dalam satu misi iaitu membeli haruman, cuba haruman yang disembur pada kertas terlebih dahulu. Hidunya beberapa kali namun jangan sehingga menyentuh hidung.
Apabila wangian tersentuh kulit, ia akan mengganggu aroma wangian lain.
Jangan terlalu mengambil nafas yang dalam ketika menghidunya, lakukan sambil lalu kemudian amatinya beberapa ketika. Apabila awda sudah pasti dengan sesuatu haruman barulah menyemburnya pada kulit, yakni di pergelangan tangan.
Elakkan menggosok-gosok dengan terlalu kuat, ia akan mengganggu aroma sebenar wangian. Awda juga boleh meminta haruman sampel untuk dibawa pulang. Semburkan wangian itu pada waktu pagi dan biarkan sepanjang hari, jika sepanjang hari itu awda selesa dan suka dengan aromanya maka tibalah masa untuk membeli.


SEMBURAN WANGIAN BERBEZA DALAM SATU MASA
Melapiskan wangian yang berbeza pada satu masa adalah satu kesalahan besar dalam pemakaian wangian. Adakah awda akan menggandingkan blaus Chanel dengan blaus Prada dalam masa yang sama?
Sudah tentu tidak. Sama seperti wangian, setiap wangian punyai keistimewaannya tersendiri, malah dalam satu wangian sudah terdiri daripada pelbagai jenis nota apatah lagi jika digabung dua wangian sekali gus.
APA YANG MEMBUATKAN WANGIAN MAHAL?
Kata pengkritik, Chandler Burr dalam buku terbitannya The Perfect Scent, menggandingkan nota-nota wangian bukanlah sesuatu yang mudah, ada pelbagai jenis bahan semula jadi seperti jenis bunga, kayu-kayan dan macam-macam lagi dan ia tidak semuanya serasi bersama.
Padanan yang tepat memerlukan kajian terperinci. Malah setiap wangian hadir dengan satu kempen iklan yang besar belanjanya, juga botol yang cukup unik dan mewah, jadi ia terpulang pada bahagian mana yang awda perlu bayar lebih.
AROMA WANGIAN BERBEZA SEPANJANG HARI
Ini bukan perkara yang ganjil, jika awda perasan wangian yang awda semburkan pada waktu pagi adalah berbeza aromanya ketika petang. Ini kerana wangian apabila bercampur dengan peluh dan DNA badan, ia akan bertindak balas dan menghasilkan aroma berbeza.
Disebabkan itu proses memilih wangian adalah sangat merumitkan. Malah sebaik awda semburkan wangian nota utama akan dilayangkan, selepas lima jam awda akan mulai hidu nota asasnya dan jika wangian itu cukup bagus, awda akan menyukai kedua-duanya.
WANGIAN MEMPUNYAI JANGKA HAYATNYA
Ia adalah benar, wangian juga akan rosak jika tidak dijaga dalam jangka masa yang lama.
Contohnya seperti terkena cahaya matahari, ia adalah musuh ketat wangian, walaupun awda suka melihat botol-botol wangian berkilau apabila disinari cahayanya. Seterusnya adalah haba, ia mampu menukar keadaan wangian awda lantas menghasilkan satu aroma yang berbeza.
WAKTU YANG TIDAK SESUAI MEMAKAI WANGIAN
Ramai yang tidak tahu etika memakai haruman, terutama apabila awda menaiki kapal terbang. Apa yang perlu awda semburkan ketika menaiki kapal terbang hanyalah deodoran.
Wangian awda yang berlebihan mungkin akan memeningkan penumpang lain. Ini kerana tahap oksigen juga berada pada tahap yang rendah ketika dalam penerbangan. Berbeza ketika di restoran, awda boleh memakai apa saja haruman kegemaran, malah ada sesetengah haruman boleh meningkatkan selera makan. – Agensi

