Topeng muka organik atau buatan sendiri adalah satu alternatif yang menyelamatkan awda apabila produk penjagaan tidak lagi berfungsi.
Perkara paling menyeronokkan apabila bercakap tentang topeng muka buatan sendiri ialah awda boleh membuatnya atau mereka bahan mengikut jenis dan keadaan kulit awda.
Jadi awda boleh memberikan keselesaan mengikut kesesuaiannya pada kulit.
Sama ada awda mempunyai kulit kering, berminyak atau kombinasi, jerawat, pori-pori besar atau bintik hitam atau putih, topeng muka bertindak sebagai pendamping sejati untuk kulit awda.
Berikut ialah beberapa petua tentang topeng muka bergantung pada jenis kulit, yang mana mampu membuatkan awda berasa yakin sekali gus menjadikan kulit kelihatan cantik setiap hari.
1. KULIT KERING
Madu merupakan komponen penting dalam topeng muka bagi yang berkulit kering.
Sifat semula jadi dan antibakteria menjadikannya sesuai untuk kulit kering dan kusam, terutamanya pada musim hujan. Awda hanya memerlukan gabungan susu dan madu.
Ini kerana susu merupakan pelembap yang terkawal, kemudian sapukan pada muka awda untuk hasil yang pantas.
Selain itu, awda boleh cuba memasukkan dua titis mana-mana minyak pati dan satu sudu madu dengan tambahan gel aloe vera.
Seterusnya, ia boleh disapu ke muka awda selepas disebatikan dengan baik. Topeng muka tersebut akan memastikan kulit awda sentiasa berada dalam keadaan yang lembap dan licin.
2. KULIT BERMINYAK
Ramai orang tidak menyedari bahawa baking soda boleh membantu menghilangkan bintik hitam dan bintik putih serta minyak berlebihan.
Awda hanya memerlukan satu sudu air suam dan satu sudu baking soda kemudiannya sapu pada muka selama sepuluh minit.
Ia mampu membantu menyingkirkan liang tersumbat, akan tetapi penggunaan yang berlebihan mungkin menyebabkan keradangan dan ketidakselesaan.
Jadi awda perlu mencuba sedikit dahulu untuk hasil yang sempurna.
3. KULIT KOMBINASI
Putih telur merupakan ramuan hebat untuk membantu menutup pori-pori di hidung dan dahi kerana ia mengawal kulit berminyak.
Oleh itu, jika awda mempunyai dahi, hidung dan dagu berminyak tetapi mempunyai pipi yang kering, ia boleh menyelesaikan masalah awda.
Selain mempunyai keupayaan untuk menghalang pengumpulan bakteria, putih telur juga berguna untuk menghilangkan bintik hitam dan jerawat.
Untuk membuat topeng muka, gabungkan putih telur, madu, dan satu sudu besar jus oren dalam mangkuk. Selain itu, masukkan satu sudu teh serbuk kunyit.
Selepas menghasilkan pes, sapu pada muka dan tunggu 10 hingga 15 minit untuk kesan yang optimum. – Agensi