Petugas barisan hadapan dihargai

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Usaha petugas barisan hadapan yang sedang menangani situasi jangkitan COVID-19 terus mendapat perhatian dan sokongan daripada semua pihak termasuk pihak swasta di Negara Brunei Darussalam yang sama-sama tampil ke hadapan untuk menghulurkan sumbangan sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka untuk sama-sama menangani wabak berkenaan.

Sehubungan dengan itu, Syarikat SMB Food Manufacturing menyampaikan sumbangan berupa 20,000 keping penutup hidung dan mulut jenama Kadibutch serta 300 botol hand sanitiser kepada petugas barisan hadapan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini.

Sumbangan penutup hidung dan mulut pelbagai jenis serta hand sanitiser disampaikan oleh wakil SMB Food Manufacturing, May Lim dan wakil Kadibutch Brunei, Yang Yang kepada Ketua Pentadbiran Kejururawatan, Hospital RIPAS, Hajah Kartini binti Haji Suhai.

Sumbangan penutup hidung dan mulut berkenaan bukan sahaja digunakan bagi para petugas barisan hadapan tetapi juga bagi pesakit-pesakit di hospital berkenaan.

Hajah Kartini menyatakan penghargaan kepada pihak syarikat dan juga orang ramai atas sokongan serta bantuan yang dihulurkan kepada petugas barisan hadapan dalam sama-sama menangani situasi yang melanda negara pada masa ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan serta mengamalkan penjarakan sosial, menghindari perkumpulan ramai dan menjaga kebersihan.

Sumbangan bukan sahaja dihasratkan untuk menjadi sebahagian daripada khidmat bakti untuk masyarakat tetapi juga sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka untuk sama-sama menangani wabak berkenaan.

Hajah Kartini menerima sumbangan berupa 20,000 keping penutup hidung dan mulut serta 300 botol gel pembasmi kuman yang disampaikan oleh May Lim dan Yang Yang.