PARIS, 17 APRIL – Ahli astronomi hari ini telah mengumumkan mereka telah mengesan sebuah ‘petunjuk’ yang paling jelas tentang kemungkinan kewujudan kehidupan di sebuah planet di luar sistem suria kita, tetapi para saintis yang lain masih meragukan hal itu.
Perdebatan hangat berlaku dalam kalangan ahli saintis, tentang sama ada planet K2-18b, yang terletak 124 tahun cahaya dari Bumi dalam buruj Leo, berkemungkinan menjadi sebuah dunia lautan yang mampu menampung sekurang-kurangnya kehidupan mikrob.
Dengan menggunakan Teleskop Angkasa James Webb, pasukan penyelidik British-Amerika mengesan tanda-tanda dua bahan kimia dalam atmosfera planet tersebut yang sekian lama dianggap sebagai ‘penanda bio’ yang menunjukkan kewujudan kehidupan asing.
Di Bumi, bahan kimia dimetil sulfida (DMS) dan dimetil disulfida hanya dihasilkan oleh makhluk hidup, terutamanya alga laut mikroskopik yang dipanggil fitoplankton.
Para penyelidik menekankan agar lebih berhati-hati dan menyatakan lebih banyak pemerhatian diperlukan bagi mengesahkan penemuan tersebut dan mereka tidak mengumumkan sebarang penemuan yang muktamad.

Menurut seorang ahli astrofizik dari Universiti Cambridge dan ketua penulis kajian tersebut yang diterbitkan dalam jurnal The Astrophysical Journal Letters, Nikku Madhusudhan,”Apa yang kami temui ketika ini adalah petunjuk kepada kemungkinan aktiviti biologi di luar sistem suria,” katanya kepada wartawan.
Tambahnya lagi, “Secara jujur, saya rasa ini adalah yang paling hampir kita pernah capai tentang satu ciri yang boleh dikaitkan dengan kehidupan.”
Namun pakar luar menunjukkan telah wujud pertikaian terhadap penemuan terdahulu mengenai eksoplanet ini, menambah bahan kimia itu mungkin terbentuk melalui cara yang tidak diketahui dan tidak berkaitan dengan kehidupan.
K2-18b, lapan kali ganda jisim dan 2.5 kali lebih besar daripada Bumi, adalah luar biasa dalam kalangan kira-kira 6,000 eksoplanet yang mengorbit dalam ‘zon Goldilocks’.
Ini bermakna planet tersebut memiliki suhu yang tidak terlalu panas atau terlalu sejuk untuk mengekalkan air dalam bentuk cecair bahan asas terpenting bagi kehidupan. – AFP