BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – TCY Motors selaku pengedar sah kenderaan Peugeot di Brunei bakal melancarkan kereta Peugeot 3008 terbaharu untuk pasaran Brunei tidak lama lagi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan TCY Motors, Peugeot 3008 berada di hadapan dalam pasaran SUV kompak dengan lebih daripada 800,000 kenderaan dihasilkan sejak pelancarannya pada 2016.
Ia telah mencapai prestasi komersial yang cemerlang di Eropah dan antarabangsa dengan Anugerah Kereta Terbaik 2017 sebagai kemuncak kejayaannya.
Kenyataan menyatakan, model terkini berkenaan tampil lebih elegan, bahagian depan direka semula, lampu LED penuh di belakang, warna baharu dan pilihan ‘Black Pack’ baharu.
Peugeot 3008 baharu merangkumkan kuasa pilihan, idea yang dipegang jenama itu sejak sekian lama dan ia didatangkan dengan enjin hibrid yang boleh dicas, pacuan dua atau empat roda dan enjin petrol atau diesel, menggabungkan keseronokan dan kecekapan pemanduan.
Tanpa mengkompromikan teknologi-teknologi pintar, SUV terkini Peugeot itu didatangkan dengan bantuan pemanduan generasi terkini serta Peugeot i-Cockpit baharu dengan headset paparan kualiti tinggi baharu dan skrin sesentuh definisi tinggi 10 inci baharu.
