BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Dua prototaip Peugeot 9X8 Le Mans Hypercar Pasukan Peugeot TotalEnergies akan membuat perlumbaan sulung rasmi mereka di Monza, Itali, dalam pusingan keempat Kejuaraan Daya Tahan Dunia FIA 2022 (FIA WEC) pada 10 Julai nanti.
Berdasarkan kejayaan program sebelumnya dengan kereta 905 yang dikuasakan enjin petrol V10 dan 908 yang dikuasakan HDI FAP diesel V12, Peugeot akan membuat penampilan sekali lagi dengan kereta berkuasa hibrid yang merangkumi strategi elektrifikasinya.
Menurut kenyataan dikeluarkanpengedar Peugeot, TCY Motors Brunei, di sini, semua anggota pasukan turut tidak sabar bagi menimba pengalaman sebanyak mungkin daripada pertandingan kompetitif mereka yang pertama itu nanti. Temple of Speed yang terkenal di Itali merupakan tempat bersejarah bagi Peugeot 908 pada April 2007 dengan meraih kemenangan penampilan sulung mereka dalam Kategori LMP1 utama di 1,000km Monza.
Trek ikonik tersebut juga akan memberikan haluan perlumbaan yang sama kepada Peugeot 9X8, dalam kelas Le Mans Hypercar bagi perlumbaan 6 Hours of Monza pada 10 Julai ini.
Sepanjang tempoh enam bulan yang lalu, Pasukan Peugeot TotalEnergies telah menjalankan pelbagai program percubaan yang sengit di pelbagai litar di seluruh Eropah sebagai persediaan awal bagi penampilan kompetitif pertama mereka. Sementara itu, dua buah kenderaan Peugeot 9X8 yang akan diturunkan ialah nombor 93 dan 94.
Paul Di Resta, Mikkel Jensen dan Jean-Eric Vergne akan bergabung dalam entri nombor 93, yang dikendalikan oleh Gauthier Bouteiller.
Manakala entri nombor 94 dipertanggungjawabkan kepada James Rossiter, Gustavo Menezes dan Loic Duval, dengan Brice Gaillardon berperanan sebagai jurutera perlumbaan.