SEOUL, 1 SEPT – Pewaris Samsung Group Lee Jae Yong bakal didakwa kerana terbabit dengan isu penggabungan syarikat yang mencetuskan kontroversi dan penipuan akaun, lapor berita Yonhap memetik sumber undang-undang hari ini.
Difahamkan pihak pendakwaan akan meneruskan siasatan dan mendakwa Lee tanpa penahanan, susulan kes manipulasi saham dan pelanggaran undang-undang pasaran modal berhubung penggabungan dua syarikat Cheil Industries Inc dan Samsung C&T pada 2015, serta penipuan akaun unit farmasi Samsung Biologics.
Pendakwa mengesyaki Lee, naib ketua Samsung Electronics, terlibat dalam skim merancang penggabungan dan penipuan dengan cara mengambil alih kawalan syarikat konglomerat terbesar negara itu daripada ayahnya Lee Kun Hee, yang sedang sakit akibat serangan jantung pada 2014.
Lee juga disyaki terlibat dengan sebahagian rancangan meningkatkan nilai Samsung Bioepis, usaha sama antara Samsung Biologics, anak syarikat Cheil Industries dan Biogen Inc. yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Beliau bagaimanapun, menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan itu sejak siasatan dimulakan pada November 2018. – Bernama