NEW YORK, 9 OGOS – Firma pembuat ubat Amerika Syarikat (AS) Pfizer mengumumkan satu perjanjian untuk memperoleh Global Blood Therapeutics (GBT), firma yang membangunkan rawatan penyakit sel sabit yang baru diluluskan, pada harga AS$5.4 bilion.
Dengan perjanjian tersebut, Pfizer, salah satu pengeluar terkemuka vaksin COVID, memperoleh Oxbryta GBT untuk merawat gangguan darah yang berpotensi membawa maut yang menjejas terutamanya penduduk dari keturunan Afrika, Timur Tengah dan Asia Selatan.
Ubat itu diluluskan untuk mereka yang berusia lebih 12 tahun pada 2019 tetapi telah mendapatkan kelulusan persekutuan pada Disember untuk kanak-kanak berusia empat hingga 11 tahun.
“Kami teruja untuk mengalu-alukan rakan sekerja GBT dalam Pfizer dan bekerjasama untuk mengubah kehidupan pesakit, ketika kami berusaha memenuhi keperluan komuniti berkenaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Pfizer, Albert Bourla dalam satu kenyataan.
Jualan bersih untuk Oxbryta mencecah AS$195 juta pada 2021, dan Pfizer berkata pelbagai rawatan SCD GBT berpotensi menjana lebih daripada AS$3 bilion dalam jualan di seluruh dunia.
Bourla berkata gabungan itu akan membantu ‘mempercepat inovasi untuk komuniti penyakit sel sabit dan membawa rawatan kepada pesakit secepat mungkin.’
Jualan Oxbryta membantu GBT mencatat kadar pusing ganti suku pertama berjumlah AS$55 juta, sementara syarikat mencatat kerugian bersih sebanyak AS$81.4 juta.
Firma berpangkalan di San Francisco itu dijangka menyiarkan pendapatan suku keduanya hari ini, tetapi tidak akan mengadakan sidang media untuk membincang laporan pendapatan.
Berikutan pengumuman penggabungan itu, saham GBT meningkat 4.4 peratus dalam perniagaan awal semalam, manakala saham Pfizer merosot 0.7 peratus. – AFP
