WASHINGTON, 11 MEI – Pfizer mula melabur wang yang diperoleh daripada keuntungan vaksin COVID sebanyak AS$11.6 bilion untuk menceburi bidang rawatan baharu.
Pembuat vaksin dan ubat kanser New York itu berkata semalam ia akan menggunakan wang tunai untuk membeli sebahagian daripada firma rawatan migrain Biohaven Pharmaceutical.
Pfizer akan membayar AS$148.50 wang tunai untuk setiap saham Biohaven, yang menghasilkan Nurtec ODT untuk rawatan migrain dan sedang membangunkan semburan hidung. Pfizer Inc. memperoleh lebih daripada AS$14 bilion daripada jualan vaksin COVID Comirnaty dan rawatan pil baharu Paxlovid dalam suku pertama.
Kebanyakan keuntungan datang daripada Comirnaty, yang juga mencatat jualan hampir AS$37 bilion pada tahun lalu.
Namun pendapatan daripada Comirnaty, yang dibangunkan Pfizer bersama BioNTech, dijangka berkurangan pada tahun-tahun akan datang.
Pfizer juga berdepan risiko kehilangan paten perlindungan untuk sesetengah produk utama dalam portfolionya dalam tempoh satu dekad akan datang.
Ia termasuk Eliquis untuk mencegah pembekuan darah dan strok serta vaksin Prevnar 13 untuk mencegah pneumonia dan penyakit bakteria berkaitan.
Pfizer merancang memasarkan ubat migrain berkenaan dengan pelancaran di 70 negara.
Lembaga pengarah Pfizer dan Biohaven telah meluluskan jualan tersebut. Perjanjian urus niaga dijangka dimuktamadkan pada awal 2023. – AP
