Thursday, December 26, 2024
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pfizer saman Poland, Hungary gagal bayar hutang COVID

    BRUSSELS, 20 DIS – Firma farmaseutikal Pfizer dan BioNTech menyaman kerajaan Poland dan Hungary kerana mendakwa mereka gagal membayar vaksin yang ditempah semasa wabak COVID, kata peguam kelmarin.

    Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) itu menempah vaksin untuk penduduk mereka melalui skim pembelian bersama dan oleh itu syarikat membawa kes mereka ke mahkamah di Belgium, negara tuan rumah Suruhanjaya Eropah.

    Menurut firma guaman yang mewakili Poland dalam kes itu, syarikat Amerika Syarikat (AS) dan Jerman menuntut Poland membayar hutang sebanyak AS$1.4 bilion, berserta faedah.

    Hungary juga dituduh melanggar kontrak, tetapi sumber yang rapat dengan kes itu memberitahu AFP bahawa Budapest menghadapi tuntutan yang lebih kecil sebanyak 60 juta euro untuk tiga juta dos vaksin.

    Pfizer mengesahkan kes sedang berlangsung tetapi tidak akan mengesahkan jumlah yang diminta.

    “Pfizer dan BioNTech sedang berusaha untuk mendapatkan semula hutang daripada tempahan vaksin COVID-19 yang dipersetujui secara kontrak dengan kerajaan itu, sebagai sebahagian daripada kontrak mereka untuk membekalkan EU yang ditandatangani pada Mei 2021,” kata kedua-dua syarikat itu.

    Menurut firma undang-undang Brussels Strelia, pertikaian Poland dengan Pfizer bermula pada April 2022.

    Kemudian, kerajaan Poland ‘memaklumkan Pfizer Inc dan Pesuruhjaya EU bagi Kesihatan dan Makanan serta Keselamatan bahawa ia tidak akan menerima penghantaran vaksin dan menggunakan beberapa hujah undang-undang dan keadaan fakta untuk menyokong kedudukannya’.

    Dalam catatan media sosial awal bulan ini, jurucakap kerajaan Hungary, Zoltan Kovacs menuduh Suruhanjaya Eropah dan Pfizer berpakat untuk memerah wang daripada negara anggota EU. – AFP

    Gambar AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda