Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    PFNBD bertadarus dalam talian

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Dengan keadaan negara yang masih menghadapi situasi pandemik COVID-19 serta saranan Kementerian Kesihatan untuk kekal melakukan penjarakan sosial, Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam (PFNBD) mengadakan Program Bacaan Al-Quran 30 Juzuk PFNBD bersempena bulan Ramadan 2020 secara dalam talian.

    Pembukaan program yang dilaksanakan menggunakan aplikasi ZOOM itu telah diadakan pada 26 April lalu dengan disertai oleh seramai 21 orang ahli pertubuhan berkenaan.

    Program itu merupakan salah satu aktiviti tahunan pertubuhan yang memberikan peluang bagi ahli-ahli untuk sama-sama menyemarakkan bulan Ramadan yang mubarak serta meraih keberkatan pada bulan yang mulia ini.

    Majlis pembukaan dimulakan dengan bacaan doa sebelum membaca Al-Quran dan diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai.

    Yang Di-Pertua PFNBD, Haji Hamidun bin Haji Mohd Noor mendahului pembacaan satu juzuk Al-Quran.

    Di akhir pembacaan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli pertubuhan atas penglibatan dan penyertaan mereka dalam sama-sama mengimarahkan bulan Ramadan serta juga meraih ganjaran yang ada pada bulan berkenaan.

    Program bermatlamat untuk memberikan peluang kepada ahli-ahli pertubuhan dan keluarga membaca Al-Quran secara bertadarus di rumah masing-masing, mengajak ahli-ahli PFNBD untuk bersama-sama meraih ganjaran membaca Al-Quran dalam bulan Ramadan dan menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan harian sejajar dengan falsafah negara Melayu Islam Beraja serta gagasan Negara Zikir.

    Ahli-ahli PFNBD menyertai Program Bacaan Al-Quran 30 Juzuk bersempena Bulan Ramadan secara dalam talian menggunakan aplikasi ZOOM. – Gambar serahan PFNBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda