Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Bagi menghargai jasa dan sumbangan ahli-ahlinya, Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam (PFNBD) telah mengadakan majlis penghargaan di Restoran Zyan, Mangrove Paradise, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan penghargaan berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kebeliaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Zakaria bin Haji Serudin.
Majlis itu merupakan acara dwi tahunan pertubuhan berkenaan untuk meraikan ahli-ahli dengan penyampaian anugerah-anugerah PFNBD dan pengumuman keputusan pemenang bagi Anugerah Best Photographer of The Year (BPOTY) bagi 2021 dan 2022.
Majlis dimulakan dengan penyampaian surat lantikan bagi Penasihat PFNBD baharu kepada Haji Hamidun bin Haji Mohd Noor dan A Jinnidi bin A Haji Mahali.
Kemudian, majlis menyaksikan penyampaian Anugerah Khas Penghargaan PFNBD kepada Awang Murni bin Haji Mahali dan Haji Rafieh bin Haji Momin; Anugerah Diploma Brunei Photographic Society kepada Awang Mohammad Suffri Awang Osman; Anugerah Honorary Associateship of Brunei Photographic Society kepada Dayang Nur Athilah Iffi binti A Haji Jinnidi dan Haji Roslan bin Haji Abdul Kadir; Anugerah Honorary Fellowship of Brunei Photographic Society kepada Pengiran Haji Sulaiman bin Pengiran Mohd Salleh, Awang Ahlimun bin Haji Nawang dan Awang Noriman bin Mohamed Ali.
Majlis diselajurkan dengan pengumuman dan penyampaian hadiah kepada pemenang peraduan BPOTY bagi 2021 dan 2022 yang masing-masing dimenangi oleh Haji Kahan bin Haji Nasir dan Awang Mohammad Suffri Awang Osman serta penyampaian cenderahati penghargaan kepada penyumbang hadiah utama peraduan BPOTY 2021 dan 2022 kepada Joseph Wong Siew Hang dari Roshe Photo Studio.
Yang Dipertua PFNBD, Awang Yusma bin Dato Paduka Haji Mohd Yusof dalam ucapannya menyatakan dengan adanya teknologi digital, ia telah merevolusikan cara kita hidup dan bekerja, menjadikannya mudah untuk diakses dan berkongsi maklumat, berkomunikasi dengan orang lain dan menjalankan tugas dengan lebih cepat dan cekap.
Ini juga termasuk bidang fotografi di mana penggunaan teknologi digital merevolusikan bidang fotografi melalui fotografi digital yang membolehkan jurugambar menangkap dan memproses imej dengan kelajuan, ketepatan dan fleksibiliti yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Dengan fotografi digital ini, tambah beliau, ia menjadi lebih mudah bagi orang ramai untuk mengambil dan berkongsi gambar, sama ada untuk tujuan peribadi atau profesional.
Fotografi digital juga telah membawa kepada kemunculan bidang baharu seperti computational photography yang memanfaatkan algoritma dan machine learning techniques untuk meningkatkan kualiti imej digital.