Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    PGA Briged Sarawak rampas barang seludup bernilai lebih RM4 juta

    KUCHING, 28 OKT – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak mencatat sembilan kejayaan dalam Op Taring Alpha, Op Taring Bravo dan Op Taring Batas/Awas yang dilaksanakan dari 14 hingga kelmarin, dengan jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM4.04 juta.

    Komander Briged Sarawak, SAC Lim Bak Phai berkata antara kejayaan tersebut direkodkan di Sibu pada 14 Oktober, apabila lima lelaki terdiri daripada tiga warga tempatan dan dua warga Indonesia ditahan bersama 24,552 liter minuman keras pelbagai jenis bernilai lebih RM1.17 juta.

    Beliau berkata pada 16 Oktober di Kuching, lima individu turut ditahan dengan rampasan 395,600 batang rokok kretek bernilai pasaran RM791,200.

    “Sementara itu, dalam Op Taring Batas pada 21 Oktober di Lundu, PGA menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang disyaki terlibat dalam penyeludupan 200 liter minyak diesel, dengan nilai rampasan keseluruhan RM130,660 termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda.

    “Pada hari sama di Sibu, dua lelaki tempatan turut diberkas dengan rampasan rokok dan minuman keras pelbagai jenis bernilai RM31,884.40, manakala di Kota Samarahan, seorang wanita berumur 25 tahun ditahan bersama 107,000 batang rokok putih dan 2,055 liter minuman keras bernilai RM275,919.60,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Lim berkata pada 21 Oktober di Bintulu, seorang lelaki berumur 31 tahun ditahan bersama barangan seludup bernilai RM511,506, manakala dalam serbuan di Sri Aman pada 22 Oktober, empat individu turut ditahan dengan rampasan rokok serta minuman keras bernilai RM97,574.87.

    “Pada 23 Oktober di Lundu, PGA turut menumpaskan kegiatan penyeludupan tong gas dengan rampasan 16 tong gas bernilai RM2,585.60, yang telah diserahkan kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak untuk tindakan lanjut.

    “Pada hari sama, kejayaan terbesar direkodkan di Sibu apabila PGA menahan 14 individu termasuk dua warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan 38,800 liter minyak diesel.

    Rampasan dalam kes itu dianggarkan bernilai RM1.03 juta, melibatkan skid tank, tangki IBC, mesin serta sembilan kenderaan pelbagai jenis,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda