Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PGA Briged Sarawak rampas barang seludup bernilai lebih RM9 juta

    KUCHING, 6 FEB – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas rokok, minuman keras tanpa cukai, minyak diesel dan mercun bernilai lebih RM9 juta dalam Op Taring Alpha di empat lokasi berasingan pada Selasa lepas.

    Komander Briged Sarawak, Dr. Che Ghazali Che Awang berkata dalam Op Taring Alpha pada 7:20 malam di Bau, tiga lelaki tempatan berusia 21 hingga 28 tahun telah ditahan.

    “Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 10,500 karton rokok putih dan 3,060 karton rokok kretek disimpan di premis tersebut.

    Turut dirampas, dua lori dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM5.73 juta,” katanya dalam kenyataan di sini.

    Di Bintulu, PGA menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dalam operasi yang dijalankan di sebuah premis penyimpanan rokok dan minuman keras tanpa cukai.

    “Pemeriksaan menemukan 1,198 karton rokok putih, 2,348 karton rokok kretek serta 540.86 liter minuman keras pelbagai jenama, dengan nilai rampasan yang dianggarkan sebanyak RM2.92 juta,” katanya.

    Sementara itu, di Sibu serbuan di sebuah premis yang disyaki menyeleweng minyak diesel bersubsidi membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia berusia 20 hingga 58 tahun.

    “Selain itu, PGA turut merampas 15,600 liter minyak diesel serta dua lori, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.19 juta,” katanya.

    Di Simunjan pula, Che Ghazali berkata hasil serbuan ke sebuah premis yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan mercun dan bunga api, PGA menemukan sebanyak 1,202 unit mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai RM101,020 dan seorang lelaki warga tempatan berumur 33 tahun turut ditahan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda