KUCHING, 21 JULAI – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak menggagalkan beberapa cubaan penyeludupan menerusi Op Taring yang dijalankan pada 14 hingga 19 Julai lepas di beberapa lokasi di Sarawak dengan rampasan barangan dianggarkan bernilai lebih RM4.6 juta.
Komander Briged Sarawak, SAC Dr Che Ghazali Che Awang berkata dalam kejayaan pertama di Miri, Khamis lepas, pasukan PGA merampas 42,615.99 kilogram (kg) produk makanan sejuk beku dan sebuah peti sejuk beku jenis kontena dianggar bernilai RM1.91 juta selepas menyerbu sebuah premis disyaki menyimpan produk makanan itu tanpa permit sah.
“Dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 28 tahun turut ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam serbuan di Serian, Rabu lepas, pasukan PGA menahan dua lelaki berusia 23 dan 35 tahun di premis dijadikan tempat penyimpanan dan penjualan rokok serta minuman keras tidak bercukai serta merampas 201,920 batang rokok, 6,019.2 liter minuman keras serta sebuah lori dianggar bernilai RM766,806.40.
Pada hari sama, polis menahan dua lelaki berusia 28 dan 37 tahun di Sibu serta merampas 316,920 batang rokok pelbagai jenama dan sebuah kereta Toyota Innova, kesemuanya dianggar bernilai RM739,424.

“Dalam kejayaan keempat di Tebedu, Jumaat lepas, anggota PGA menjumpai satu longgokan plastik hitam mengandungi 295,600 batang rokok pelbagai jenis dianggar bernilai RM510,200 dipercayai cuba diseludup melalui laluan tidak diwartakan.
“Pada Sabtu di Bau, seorang lelaki berusia 40 tahun turut ditahan setelah pemeriksaan terhadap sebuah lori menemukan 6,250 kilogram beras tanpa permit sah dianggar bernilai RM232,500,” katanya.
Che Ghazali berkata selain itu, pasukan PGA turut menahan seorang lelaki berusia 59 tahun dan merampas 350 kotak produk makanan sejuk beku bernilai RM187,200 dalam sebuah lori di Lundu pada 15 Julai.
Beliau berkata seorang lagi lelaki berusia 27 tahun turut ditahan dua hari kemudian (17 Julai) di Lundu bersama 350 kotak makanan sejuk beku bernilai RM186,200. – Bernama
“Menerusi kejayaan kelapan di Serian pada 14 Julai, dua lelaki berusia 57 dan 58 tahun ditahan selepas pemeriksaan dalam sebuah van menemukan 2,800 batang rokok tidak bercukai dianggar bernilai RM134,760,” katanya. – Bernama