KUCHING, 5 JAN – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya merampas rokok dan minuman keras tanpa cukai bernilai lebih RM3 juta dalam Op Taring Alpha yang dijalankan di bandar raya ini pada Jumaat lepas.
Komander PGA Briged Sarawak, SAC Che Ghazali Che Awang berkata dalam serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan di sebuah premis sejumlah 1,777 karton rokok putih, 695 karton rokok kretek, 11,732.5 liter bir serta 2,137.9 liter arak pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM3,023,488.75 telah ditemui.
“Dalam serbuan itu, pasukan polis turut menahan dua wanita warga tempatan yang berusia 30 dan 33 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kedua-dua suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, beliau berkata bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember tahun lepas, PGA Briged Sarawak telah melaksanakan sebanyak 287 serbuan, 630 tangkapan serta pengusiran membabitkan rampasan barang bernilai RM83.3 juta.
“Jumlah tangkapan membabitkan seramai 154 warga tempatan dan 121 warga asing.
“Selain itu, jumlah pengusiran melibatkan seramai 355 warga asing yang cuba masuk ke Sarawak melalui laluan-laluan haram di kawasan sempadan. Kesemua tangkapan dan pengusiran warga asing membabitkan rakyat dari negara Indonesia,” katanya. – Bernama