Saturday, February 22, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    PGA Sarawak tumpas aktiviti pembalakan haram bernilai RM3.2 juta

    KUCHING, 20 FEB – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak menumpaskan aktiviti pembalakan haram melibatkan rampasan bernilai lebih RM3.2 juta menerusi Op Taring Libas, semalam.

    Komander Briged Sarawak SAC Dr Che Ghazali Che Awang berkata dalam operasi pada 9:30 pagi itu, pasukan PGA menyerbu dan memeriksa sebuah lokasi di Saratok yang disyaki dijadikan tempat aktiviti pembalakan haram itu.

    “Tiga lelaki warga tempatan berumur antara 36 hingga 56 tahun ditahan dan pemeriksaan lanjut menemukan 85 kayu balak pelbagai jenis di situ.

    “Turut dirampas enam kenderaan pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan rampasan RM3,223,000,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Hutan Bahagian Sri Aman untuk siasatan lanjut di bawah Kesalahan Ordinan Jabatan Hutan Negeri Sarawak 2015.

    Selain itu, Che Ghazali berkata serbuan menerusi Op Taring Bravo 3 pula dilakukan di dua premis di Padawan dan Kota Samarahan kerana disyaki dijadikan tempat menyimpan dan mengimport produk ternakan tanpa permit yang sah.

    Beliau berkata pihaknya menahan dua lelaki dan tiga wanita warga tempatan berumur antara 23 hingga 55 tahun selain pemeriksaan juga menemukan 36,178 kilogram daging ayam serta lembu sejuk beku di premis terbabit.

    “Turut dirampas dua kontena dan tiga kenderaan pelbagai jenis dengan anggaran ke-seluruhan rampasan berjumlah RM1,602,500 mengikut harga pasaran,” katanya.

    Beliau berkata kes diserahkan kepada pihak Veterinar Sarawak untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 9 (1)(3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda