Oleh: Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Kemeriahan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri masih lagi terasa kehangatan dan keriangannya walaupun telah hampir ke penghujung perayaan.
Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Tertinggi (JKTT), Jawatankuasa Tadbir (JKT) bersama-sama pegawai dan kakitangan Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) mengadakan Majlis Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Ibu Pejabat PGGMB, Jalan Kianggeh, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.
Pada majlis berkenaan, Timbalan Yang DiPertua PGGMB, Haji Badar bin Haji Md Ali dalam ucapannya menyeru semua pegawai dan kakitangan ibu pejabat PGGMB sebagai tunjang dan tulang belakang jentera pentadbiran PGGMB hendaklah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan efisien supaya pentadbiran serta pengurusan yang dirancang berjalan dengan baik dan teratur.
Oleh itu, tambahnya, disiplin dan tarbiah yang diamalkan semasa bulan suci Ramadan akan terus diaplikasikan dalam menjalani kehidupan seharian dan menggalas tugasan mereka setiap masa.
Beliau berharap kerjasama dan toleransi yang diamalkan akan terus diperkukuhkan dalam semua aspek pengurusan yang dilaksanakan.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan hidangan juadah serta persembahan lagu-lagu Hari Raya dan acara cabutan nombor bertuah.