Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Setiap tahun sempena memperingati Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Program Menaikkan Bendera Kebangsaan merupakan sebuah program yang memberi impak yang mendalam di jiwa seluruh lapisan masyarakat di negara ini.
Program itu dapat meningkatkan jati diri dan semangat kebangsaan dalam diri seluruh lapisan masyarakat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.
Dalam hubungan itu, Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), tidak ketinggalan menyempurnakan Program Menaikkan Bendera Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang dilaksanakan di Sekolah Tunas Jaya (STJ) PGGMB Madang, kelmarin.
Upacara itu disertai oleh seramai kira-kira 207 orang murid sekolah dengan matlamat untuk meningkatkan kefahaman, semangat cintakan negara serta menanamkan jati diri positif terhadap kemajuan dan kepimpinan negara yang tercinta.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis berkenaan ialah Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri. Turut hadir Guru Besar STJ PGGMB, Awang Ismail bin Haji Tia; Guru Besar Sekolah PGGMB Sungai Akar, Haji Ali @Mustapha bin Haji Talip, guru-guru kanan, guru-guru dan murid-murid sekolah.
Menurut Guru Besar STJ PGGMB Madang, menyatakan bahawa majlis itu sangat memberikan kesan yang positif dalam jiwa murid di mana ia menanamkan semangat kenegaraan dan jati diri mereka.
Majlis didahului dengan bacaan Doa Selamat, persembahan sajak dan lagu-lagu patriotik, daripada murid-murid sekolah serta diteruskan dengan upacara menaikkan bendera negara.