Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) menganjurkan Sesi Kursus Pertolongan Cemas bagi Guru-guru Sekolah di Taman Asuhan PGGMB pada 5 dan 12 Julai lalu.
Kursus berkenaan dikendalikan oleh pakar-pakar dari Klinik Dr Amir iaitu Dr Ahmad Fairus dan Dr Yung Chee Tay.
Semasa kursus berkenaan, para guru diberikan pengenalan mengenai pertolongan cemas, CPR, AED, tercekik, kejutan, kecederaan muskuloskeletal, kecederaan mata, keretakan, kecederaan melecur serta penjagaan luka. Mereka juga mengikuti beberapa sisi latihan dan simulasi yang diadakan.
Menurut Penyelia Taman Asuhan PGGMB, Cikgu Siti Rabiah binti Mantin, kursus itu adalah sangat penting dan berfaedah bagi para guru dan penjaga Taman Asuhan untuk menangani serta menyantuni kemalangan dan kecederaan murid-murid di sekolah dan juga di taman asuhan.
Selain bertujuan untuk memberi kemahiran dan kesedaran tentang aspek-aspek keselamatan dan kesihatan, para guru juga akan dapat membantu dan menyelamatkan nyawa dalam keadaan daurat, mencegah kecederaan lebih lanjut dengan teknik- teknik yang betul dan mengurangkan kecederaan yang lebih parah serta mencepatkan waktu pemulihan segera.
