Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Ibu Pejabat Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) telah mengadakan tiga acara serentak iaitu Majlis Tahlil, Doa Selamat untuk bakal haji dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Ibu Pejabat PGGMB, Bangunan PGGMB, di ibu negara, hari ini.
Hadir pada majlis itu ialah Yang Di-pertua PGGMB, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman. Turut hadir ialah ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan pegawai-pegawai serta kakitangan Ibu Pejabat PGGMB.
Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan tahlil khusus bagi seorang ahli PGGMB, Allahyarham Haji Durhman bin Musa. Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Selamat dan penyampaian sumbangan derma kebajikan kepada tiga ahli PGGMB yang akan menunaikan fardu haji tahun ini, untuk memohon keberkatan Allah SWT supaya mereka mendapat perlindungan, keselamatan serta akan beroleh haji yang mabrur.
Acara turut diserikan dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan penyampaian hadiah-hadiah bagi cabutan nombor bertuah.