Friday, July 5, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    PGGMB diharap terus relevan perkasa pendidikan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) merupakan se-buah persekutuan yang berperanan penting dalam membantu pembangunan dan memartabatkan profesion perguruan di Negara Brunei Darussalam.

    Dalam hubungan itu, PGGMB diharap akan terus berkembang dan relevan dalam sama-sama memperkasa landskap pendidikan negara secara amnya dan profesion guru secara khususnya.

    Harapan itu disuarakan oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman dalam ucapan pada Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Agung Perwakilan PGGMB ke-74 yang berlangsung di Dewan Sekolah PGGMB, Sungai Akar, hari ini.

    Beliau menyatakan bahawa kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan PGGMB telah lama wujud dan akan sentiasa diperkukuhkan dan dipertingkatkan.

    Antara kerjasama itu ialah peng-libatan PGGMB dalam Program Induksi Tenaga Pengajar Baharu, Kementerian Pendidikan.

    “Penglibatan ini bukan saja sebagai platform untuk memperkenalkan PGGMB dan menarik minat tenaga-tenaga pengajar baharu untuk menyertai atau terlibat dalam kegiatan persekutuan, tetapi ia juga dapat dijadikan sebagai wadah pencetus semangat dan motivasi kepada tenaga-tenaga pengajar baharu dengan adanya penglibatan guru-guru lama yang telah banyak menyumbang dalam kemajuan sistem pendidikan di negara ini,” jelasnya.

    Awang Aliuddin turut mengulas mengenai penyertaan aktif PGGMB dalam persidangan dan konvensyen yang diadakan di peringkat serantau dan antarabangsa di mana pada 2022, PGGMB telah menyertai Konvensyen Majlis Guru-guru ASEAN dengan melibatkan dua orang pemimpin sekolah kerajaan iaitu Pengetua Sekolah Menengah Rimba II dan Guru Besar Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang yang berpeluang menyampaikan kertas kerja.

    “Kerjasama dan kolaborasi sebegini perlu diteruskan dan diperkukuhkan lagi dalam usaha untuk kita sama-sama memberi pendedahan dan mengangkat imej sistem pendidikan kita di peringkat atau arena antarabangsa,” ulasnya.

    Awang Aliuddin menyampaikan ucapannya pada Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Agung Perwakilan PGGMB ke-74. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Banjir: Sembilan maut, jutaan terjejas

    GUWAHATI, 4 JULAI – Hujan lebat dan sungai melimpah di timur laut India dan negara jiran, Bangladesh, telah meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa, menurut pegawai...