Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena 85 Tahun Penubuhan PGGMB (1939-2024) dan diselajurkan dengan Sambutan Hari Guru ke-34, 2024 yang berlangsung di Bangunan PGGMB, ibu negara, hari ini.
Majlis berkenaan menyaksikan bacaan Tahlil dan Doa Kesyukuran dan penyampaian penghargaan kepada guru-guru PGGMB yang menerima Anugerah Guru Berjasa pada Sambutan Hari Guru yang lalu.
Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Dipertua PGGMB, Haji Abdul Alim bin Haji Awang Othman, mengongsi program yang akan dilaksanakan oleh PGGMB termasuk pembinaan Masjid Wakaf PGGMB, rumah mampu milik bagi ahli-ahli PGGMB dan beberapa program yang lain.
Pada majlis itu, bacaan Tahlil dan Doa Kesyukuran telah dipimpin oleh Pengarah Badan Ugama PGGMB, Haji Rosli bin Haji Mohd Salleh.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada beberapa orang guru yang telah menerima Anugerah Guru Berjasa sempena Sambutan Hari Guru ke-34 di mana guru-guru yang diraikan ialah Dato Haji Sheikh Adnan bin Haji Mohammad, Pengiran Haji Mahmud bin Pengiran Haji Damit, Haji Moksin bin Bakar dan Haji Hambali bin Haji Tengah.
Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri menyatakan bahawa guru-guru yang menerima anugerah berkenaan merakamkan ucapan terima kasih kepada PGGMB kerana memberikan sokongan kepada mereka.
Mereka juga akan terus memberikan kerjasama dan komitmen yang berterusan kepada PGGMB agar terus berjaya bagi kemandirian dan manfaat guru-guru semua.
Beliau juga menyatakan harapan supaya PGGMB akan terus maju jaya dalam pelbagai perancangan yang telah dirancang demi kelangsungan memartabatkan anak bangsa dan warga guru dalam menyumbang kecemerlangan serta kejayaan Wawasan Brunei 2035.