Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Seramai 11 orang ahli Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) yang menerima Anugerah Hari Guru sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-32 telah diraikan dalam Majlis Doa Kesyukuran yang berlangsung di Ibu Pejabat PGGMB, di ibu negara pada 7 Oktober lalu.
Timbalan Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Badar bin Haji Ali dalam ucapan alu-aluannya selaku wakil Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman, merakamkan ucapan tahniah kepada penerima-penerima anugerah dan melihat penganugerahan yang diterima merupakan satu kejayaan individu serta juga sumbangan kepada PGGMB.
Ahli-ahli PGGMB yang menerima Anugerah Guru Berjasa ialah Datin Paduka Hajah Azizah binti Panglima Asgar Dato Paduka Haji Abdullah, Profesor Madya Dr Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid dan Haji Md Daud @ Haji Mokti bin Taha.
Sementara itu, penerima-penerima Anugerah Guru Cemerlang ialah Hajah Mariam binti Haji Ladi, Hajah Noormah Azrayati binti Haji Mohd Noor dan Haji Yahya bin Haji Abdul Rahman.
Manakala itu, lima orang ahli menerima Anugerah Penghargaan Hari Guru dalam pelbagai bidang iaitu Dr Hajah Ena Kartina binti Haji Abdul Rahman, Haji Ismail bin Haji Burut @ Haji Maidin, Hajah Hajidah binti Haji Abdul Wahab, Dr Hajah Sallimah binti Haji Mohd Salleh dan Hajah Kostinah binti Haji Garif.
Pada majlis berkenaan, sijil-sijil penghargaan kepada para penerima yang diraikan telah disampaikan oleh Haji Badar. Acara diakhiri dengan persembahan Dikir Maulud Nabi bagi memperingati hari kelahiran junjungan besar, Nabi Muhammad SAW.
