Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Sebagai aktiviti tahunan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) dalam menyantuni anak-anak yatim, seramai 20 orang anak-anak yatim PGGMB telah menerima sumbangan derma pada Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim bagi Warga PGGMB yang berlangsung di Bangunan PGGMB, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian derma kepada anak-anak yatim berkenaan ialah Timbalan Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Badar bin Haji Md Ali.
Majlis berkenaan diserikan dengan tazkirah motivasi ringkas yang disampaikan oleh Awang Mohammad Najib bin Haji Awang dari Pusat Dakwah Islamiah yang menyeru para anak yatim supaya terus cekal dan berfikiran positif dalam mengharungi cabaran kehidupan masa ini.
Majlis diikuti dengan bacaan tahlil dan doa kesyukuran oleh Pengerusi Badan Agama PGGMB, Ustaz Haji Rusli bin Haji Salleh dan kemudian diteruskan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim PGGMB oleh Haji Badar.
Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri menyatakan bahawa anak-anak yatim berkenaan merakamkan rasa kesyukuran dan terima kasih mereka kepada PGGMB kerana menghulurkan bantuan derma berkenaan kepada mereka.
Mereka menyatakan bahawa dengan bantuan itu, ia dapat digunakan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri serta juga dapat digunakan bagi keperluan persekolahan mereka.

