Friday, February 14, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pheu Thai bergabung dengan parti sekutu kerajaan

    BANGKOK, 7 OGOS – Pemenang kedua dalam pilihan raya Thailand telah mengumumkan gabungan baharu dengan parti bersekutu kerajaan hari ini ketika penggubal undang-undang cuba mengatasi tentangan daripada senator tentera dan pro-diraja untuk memecahkan kebuntuan politik.

    Negara itu tidak dapat membentuk kerajaan selepas Parti Move Forward (MFP) yang reformis gagal mencapai majoriti, walaupun memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya Mei lalu, dan kemudiannya dikecualikan daripada gabungan progresif.

    Saingan terdekat parti itu, Pheu Thai, mengumumkan perkongsian baharu tersebut hari ini bersama satu lagi parti lain, Bhumjaithai, yang mengumpulkan sejumlah 212 kerusi di parlimen.

    Gabungan lapan parti sebelum ini yang diketuai oleh MFP gagal membuatkan pemimpin Pita Limjaroenrat dipilih sebagai PM selepas beliau disekat oleh senator dilantik junta yang menentang ikrarnya untuk memperbaharui undang-undang fitnah diraja Thailand yang keras.

    Pheu Thai mengumumkan minggu lepas bahawa parti progresif itu telah dikecualikan daripada gabungan berkenaan, berkata sokongan untuk bidaan Pita telah tersekat berikutan desakan MFP terhadap reformasi lese-majeste.

    Antara pihak yang menentang kemasukan MFP adalah Bhumjaithai – ahli kerajaan gabungan yang disokong tentera yang dipilih dalam pilihan raya kontroversi 2019.

    Susulan perbincangan-perbincangan, pemimpin Pheu Thai, Cholnanan Srikaew mengumumkan hari ini bahawa perjanjian gabungan antara partinya dan Bhumjaithai telah dicapai. – AFP

    Pemimpin Parti Pheu Thai, Cholnanan Srikaew (tiga dari kanan) dan pemimpin Parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul (tiga dari kiri) berpegang tangan selepas sidang media di ibu pejabat Parti Pheu Thai di Bangkok, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda