Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Philips disiasat berhubung mesin apnea tidur rosak

    PARIS, 9 SEPT – Seorang hakim penyiasat Perancis sedang meneliti sama ada pengeluar peranti perubatan Belanda, Philips, melakukan penipuan berat berkaitan mesin apnea tidur yang rosak, menurut sumber kepada AFP kelmarin.

    Pada 2021, Philips mengumumkan penarikan balik mesin DreamStation untuk apnea tidur, satu gangguan di mana pernafasan berhenti secara berulang semasa tidur.

    Jutaan peranti ditarik balik kerana kebimbangan pengguna berisiko menghirup atau menelan serpihan busa penyerap bunyi yang beracun dan kemungkinan ia boleh menyebabkan kanser.

    Pejabat pendakwa raya Paris mengesahkan kepada AFP, mereka telah menerima 104 aduan daripada individu, dua daripada persatuan serta amaran daripada pengawal selia peranti perubatan Perancis berkaitan peranti yang digunakan oleh beberapa ratus ribu pesakit Perancis itu.

    Beberapa aduan melibatkan tuduhan pembunuhan tanpa sengaja berkaitan peranti tersebut.

    Pejabat pendakwa raya berkata satu siasatan dibuka pada Jun mengenai kemungkinan penipuan dan sama ada syarikat itu memenuhi kewajipannya melaporkan insiden yang boleh menyebabkan kematian pesakit.

    Siasatan itu turut disusuli dengan siasatan awal yang dibuka pada 2023 yang mengumpul bukti dan menganalisis dokumen.

    Hasil daripada susulan ujian tambahan, Philips berkata peranti itu tidak menimbulkan risiko kesihatan, tetapi pada 2024 syarikat bersetuju membayar AS$1.1 bilion untuk menyelesaikan tuntutan mahkamah di Amerika Syarikat berkaitan mesin tersebut, walaupun tidak mengaku bersalah.

    Philips turut memberitahu AFP, siasatan itu telah membabitkan tindakannya semasa penarikan balik mesin pada 2021 dan tidak berkaitan kualiti mesin mereka sekarang. – AFP

    Gambar fail ini menunjukkan logo Philips di ibu pejabat syarikat di Amsterdam, Belanda, pada 29 Januari 2019. – Reuters
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda