JAKARTA, 22 JULAI – Harapan skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) untuk mara ke separuh akhir Piala ASEAN B-23 musnah selepas sekadar seri 0-0 menentang Indonesia, dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia menamatkan kempen peringkat kumpulan di tangga ketiga dengan empat mata, di belakang Indonesia selaku juara kumpulan dengan tujuh mata, Filipina memperoleh enam mata, manakala Brunei menghuni dasar kumpulan tanpa sebarang mata.
Malaysia membuka kempen dengan kekalahan 0-2 kepada Filipina sebelum bangkit membelasah Brunei 7-1, namun gagal menandingi Indonesia yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan slot ke separuh akhir.
Anak buah Nafuzi Zain turun dengan misi wajib menang besar tanpa bolos, namun gagal memanfaatkan peluang walaupun mempamerkan aksi lebih tersusun daripada segi pertahanan dan penguasaan awal perlawanan.
Sebaliknya, skuad tuan rumah lebih banyak menguasai permainan dengan beberapa gerakan berbahaya, namun ketangkasan barisan pertahanan negara serta penjaga gol, Zulhilmi Sharani, memastikan gawang negara tidak dibolosi.
Separuh masa kedua menyaksikan rentak permainan lebih rancak apabila kedua-dua pasukan saling mengasak. – Bernama
