Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Piala Asia 2023 lakar rekod baharu kehadiran penonton

    DOHA, 30 JAN – Kejohanan Piala Asia 2023 melakar rekod baharu dengan jumlah kehadiran 1.06 juta peminat bola sepak apabila 63,753 penonton menyaksikan kemenangan juara bertahan Qatar 2-1 menentang Palestin pada pertembungan pusingan 16 di Stadium Al Bayt di Al Khor, semalam.

    Angka menakjubkan itu mengatasi rekod kehadiran sebelum ini iaitu 1.04 juta yang dicatatkan semasa edisi 2004 di China.

    Mengulas mengenai pencapaian itu, Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John, berkata sejak awal lagi, sudah jelas edisi Piala Asia ke-18 di sini bakal menjadi edisi paling mudah diakses dan menarik dalam sejarah kejohanan itu.

    “Bola sepak mempunyai kuasa yang tidak disangkal lagi dalam menyatukan masyarakat dan tiada tempat selain Qatar menjadi pentas paling berprestij di Asia. Pencapaian ini ialah satu penghormatan kepada peminat yang penuh semangat dan rakan daripada Persatuan Bolasepak Qatar dan Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) Piala Asia 2023.

    “AFC ingin merakamkan ucapan terima kasih yang amat mendalam kepada semua pihak berkepentingan dan rakyat Qatar atas layanan dan keramahan mereka yang tiada tandingan,” katanya dalam kenyataan.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LOC Piala Asia 2023, Jassim Al Jassim, berkata kehadiran penonton yang memecahkan rekod itu ialah bukti keupayaan Qatar menjadi tuan rumah acara sukan berkelas dunia.

    “Sekali lagi, Qatar telah mengesahkan tempatnya sebagai ibu negara sukan global. Infrastruktur moden dan pengalaman operasi membolehkan kami memberikan satu lagi kejohanan yang mudah diakses dan menarik dari segi budaya ke standard tertinggi.

    “Kami gembira dapat mencatat rekod seawal ini dalam kejohanan. Berbaki 11 lagi perlawanan, ia bakal menawarkan aksi menarik dengan banyak pasukan mempamerkan persembahan luar biasa,” katanya. – Bernama

    Reaksi Hassan menjaringkan gol pertama pasukannya di Stadium Al-Bayt di al-Khor, utara Doha, pada 29 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...