Oleh James Kon –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Brunei Darussalam akan bermain dalam perlawanan kelima dan terakhir bagi Kelayakan Piala Asia AFC Arab Saudi 2027 menentang Lubnan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, esok.
Dalam pertemuan pada Mac lalu, skuad bola sepak Bawah 23 Tahun Brunei Darussalam mengalami kekalahan 5-0 di tangan Lubnan.
Ketua Jurulatih Brunei, Fábio Joaquim Maciel da Silva dalam sidang media praperlawanan menekankan pasukan Brunei akan berusaha untuk beraksi dengan baik pada perlawanan menentang Lubnan.
“Sentiasa teruja untuk bermain di laman sendiri di hadapan peminat, kami faham bahawa kami tidak mempunyai peluang untuk layak. Persediaan yang kami ada pada minggu lalu sangat hebat jadi kami menjangkakan akan bermain dengan baik menentang Lubnan,” ujarnya.
Beliau menambah, “Kami menjangkakan pasukan dapat mengikuti segala yang dilakukan dalam latihan semasa perlawanan nanti. Terdapat beberapa perubahan dalam pasukan dan jika kami dapat melakukan apa yang kami lakukan dalam latihan, saya percaya kami dapat mempamerkan perlawanan yang hebat.”
Sementara itu, penjaga gol skuad kebangsaan, Haimie Nyaring menyatakan, “Buat masa ini, tidak banyak tekanan ke atas pasukan, kami hanya perlu memberikan yang terbaik untuk perlawanan ini.”
Lubnan ingin mengekalkan kelebihan dua mata mereka dalam kedudukan dengan kemenangan menentang Brunei.
Ketua Jurulatih Lubnan, Miodrag Radulovic menekankan, “Kami bersedia untuk satu perlawanan lagi dan sedang mencari keputusan yang baik untuk kekal di tempat pertama Kumpulan.
“Pasukan ini telah menempuh perjalanan jauh dan perlu menyesuaikan diri dengan cuaca serta perbezaan masa. Saya berharap pasukan ini dapat pulih dengan baik dan memberikan prestasi cemerlang,” tambahnya.


