DOHA, 6 APRIL – Enam daripada lapan stadium Piala Dunia Qatar akan digunakan untuk Piala Asia yang akan diadakan di negara Teluk itu pada Januari depan, umum Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Namun, stadium Lusail yang digunakan untuk perlawanan akhir Piala Dunia dan stadium ikonik 974 yang diperbuat daripada kontena tidak akan menjadi sebahagian daripada kejohanan 24 negara yang berlangsung dari 12 Januari hingga 10 Februari tersebut.
Piala Asia pada asalnya akan diadakan tahun ini di China tetapi telah ditukar tempat dan ditangguhkan kerana sekatan koronavirus di negara itu.
Menurut Presiden AFC, Salman bin Ebrahim Al Khalifa, berdasarkan penganjuran Piala Dunia Qatar tahun lalu, Piala Asia akan menjadi ‘satu tontonan sebenar yang belum pernah dialami dalam sejarah bola sepak Asia.’
“Kami yakin mereka akan mem-pamerkan keupayaan pengacaraan mereka yang tiada tandingan, infrastruktur terkini dan layanan mesra,” katanya dalam komen yang dibuat apabila AFC yang berpangkalan di Kuala Lumpur mengeluarkan tarikh itu baru-baru ini.
Qatar akan menggunakan stadium Al Janoub, stadium Al Bayt, stadium Ahmed Bin Ali, stadium Al Thumama, stadium Kota Pendidikan dan stadium Antarabangsa Khalifa yang kesemuanya merupakan sebahagian daripada infrastruktur berbilion dolar yang disediakan untuk Piala Dunia.
Stadium Jassim bin Hamad yang lebih kecil dan stadium Abdullah bin Khalifa juga akan digunakan, kata AFC.
Stadium 974 berhampiran pesisir pantai Doha dijadualkan untuk dirobohkan dan didermakan kepada negara membangun. Beberapa kontena telah dibawa pergi tetapi pihak berkuasa masih belum menyatakan ke mana stadium itu akan ditempatkan. – AFP