Tuesday, March 5, 2024
32.5 C
Brunei

    -

    Piala Asia: Qatar rentap ego Iran

    DOHA, 8 FEB – Gol lewat permainan Almoez Ali memastikan Qatar hanya selangkah lagi bagi mempertahankan gelaran apabila mara ke final Piala Asia 2023 selepas menewaskan juara tiga kali, Iran 3-2 pada perlawanan separuh akhir yang sengit di Stadium Al Thumama di sini, kelmarin.

    Penyerang sensasi, Akram Afif memastikan Qatar bangkit daripada ketinggalan apabila meledak gol kedua pasukan di hujung separuh masa pertama selepas Jassem Gaber Abdulsallam menafikan jaringan pembukaan Iran menerusi Sardar Azmoun di awal permainan.

    Team Melli bimbingan Ardeshir Ghalehnoy yang menyingkirkan pilihan utama, Jepun 2-1 pada suku akhir kemudian mengikat kedudukan 2-2 di awal babak kedua menerusi penalti Alireza Jahanbakhsh, namun Ali, penjaring terbanyak edisi 2019 memastikan Qatar ke final dengan jaringan kemenangannya.

    Keputusan itu menyaksikan The Maroons meraih kemenangan pertama ke atas Iran sejak 2009, manakala kekalahan menyaksikan Iran terus kempunan menjejakkan kaki ke pentas final selepas kali terakhir melakukannya ketika memenangi gelaran ketiga pada edisi 1976 di Tehran.

    Pada final di Stadium Lusail, Sabtu ini, Qatar bimbingan Marquez Lopez akan membuat perhitungan dengan Jordan yang melakar sejarah mara ke final buat kali pertama selepas menyingkirkan juara dua kali, Korea Selatan 2-0, Selasa lalu. – Bernama

    Pasukan Qatar meraikan kejayaan selepas Akram Afif (tidak kelihatan), menjaringkan gol kedua semasa perlawanan bola sepak separuh akhir Piala Asia antara Qatar dan Iran di Stadium Al Thumama di Doha, Qatar pada 7 Februari 2024. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    24 nelayan diselamatkan di laut berombak kuat, 1 ditemui mati

    TOKYO, 5 MAC - Sebuah helikopter pengawal pantai Jepun menyelamatkan 24 nelayan ketika mereka bermati-matian berpaut pada geladak sebuah kapal yang condong, separuh tenggelam...