SYDNEY, 29 JULAI – Juara bertahan China diundi dalam kumpulan yang sama di Sydney hari ini, bersama pasukan yang telah tiga kali menjuarai kejohanan, Korea Utara, bagi Piala Asia Wanita 2026, manakala kuasa besar Asia, Jepun, akan berdepan Vietnam, India dan Taiwan.
China yang memburu gelaran ke-10 juga akan menentang dua pasukan yang pertama kali layak ke kejohanan, Bangladesh dan Uzbekistan, dalam Kumpulan B di kejohanan yang akan berlangsung di Perth, Gold Coast dan Sydney dari 1 hingga 21 Mac tahun depan.
Jepun, pasukan dengan ranking FIFA tertinggi dalam kejohanan ini di kedudukan ketujuh dunia, merupakan pilihan utama dalam Kumpulan C dan berhasrat menambah koleksi kejuaraan selepas kejayaan pada 2014 dan 2018. Mereka akan membuat penampilan ke-18 dalam Piala Asia dan ke-16 berturut-turut – kedua-duanya merupakan rekod kejohanan.
Tuan rumah Australia, juara 2010, berdepan laluan sukar dalam Kumpulan A bersama naib juara 2022 Korea Selatan, Iran dan Filipina. Mereka dijangka memanfaatkan sokongan peminat tempatan yang pernah membantu mereka mara ke separuh akhir Piala Dunia 2023 di tanah air.
Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan, bersama dua pasukan tempat ketiga terbaik, akan mara ke suku akhir. Enam pasukan terbaik keseluruhan pula akan layak ke Piala Dunia 2027 di Brazil. – AFP


