Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Kejohanan bola sepak merebut Piala Dirgahayu 2025 anjuran Persatuan Bola Sepak Kesatuan Pemuda-Pemudi Kampung Sungai Kedayan (KPPKSK) menjadi medan terbaik kepada pemain-pemain muda untuk menonjolkan bakat dan menggilap potensi masing-masing.
Matlamat berkenaan menjadi harapan pengerusi kejohanan, Awang Matali Haji Md Tahir semasa Majlis Pengundian Kejohanan Piala Dirgahayu 2025 di Rumah FABD, hari ini.
Kejohanan Piala Dirgahayu 2025 yang dibukakan penyertaannya kepada pemain yang berusia bawah 13 tahun (B13) dan bawah 17 tahun (B17), akan bermula pada 16 Februari, di Padang FABD dan Padang Kompleks Sukan Berakas.
Awang Matali melahirkan keyakinan setiap pasukan akan membariskan pemain-pemain yang berbakat dan mantap untuk menampilkan persaingan dengan semangat sukan yang tinggi.
Bagi Kategori B13 dalam Kumpulan A menyaksikan penyertaan pasukan KPPKSK; PM FC; Shada FT; PB FA dan COT JPKK sementara Kumpulan B diwakili oleh pasukan Sport School Warriors; Dast Football Academy; Projek Ikan Pusu; Junior Soccer; dan PKT FT.
Manakala Kategori B17 bagi Kumpulan A dibarisi oleh pasukan KPPKSK; COT JPKK; Rimba Star FC; Muaz F-Team; PKT FT; serta Supa Strikas FC dan Kumpulan B akan menyaksikan persaingan pasukan PM FC; Projek Ikat Pusu; Sport School Warriors; Gergasi FC; Kasuka FC; dan Shada FT.
Pengurus pasukan Gergasi FC, Awang Khairul Azim Haji Shari mengakui persaingan dalam Kumpulan B lebih mencabar namun ia tidak memberi tekanan untuk mereka memberikan saingan yang jitu dalam perlawanan peringkat kumpulan.
“Kami sedaya upaya menjadi pasukan pencabar dalam kumpulan dan jika pemain berjaya mengadaptasi dan memberikan tumpuan kepada perlawanan, pasukan Gergasi akan mampu melangkah lebih jauh,” jelasnya.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P22-3_10022025.jpg)