Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Piala Dunia hilang seri tanpa Portugal, Itali

    PARIS, 19 NOV – Juara bertahan, Perancis berharap akan dapat mempertahankan gelaran pada Piala Dunia 2022 di Qatar, ketika saingan mungkin kehilangan dua pasukan juara Eropah apabila Portugal dan Itali perlu bertarung untuk layak menerusi playoff.

    Ia membuatkan penyokong mungkin kehilangan kelibat Cristiano Ronaldo di Qatar musim sejuk depan dan Azzurri, yang cemerlang pada Euro 2020, mungkin juga tidak akan beraksi dalam dua Piala Dunia berturut-turut buat pertama kali dalam sejarah mereka.

    Skuad Les Bleus menaruh harapan dapat mempertahankan gelaran dunia mereka selepas persembahan buruk pada Euro 2020 yang mencetuskan krisis selepas disingkirkan Switzerland.

    Memenangi gelaran Liga Negara-Negara membawa kembali keghairahan dalam skuad Didier Deschamps selain persembahan baik Kylian Mbappe dan Karim Benzema.

    Walaupun memiliki ramai pemain berkelas dunia, Perancis masih sukar mendapatkan yang terbaik daripada mereka.

    Reaksi Cristiano Ronaldo semasa perlawanan kelayakan kumpulan A Piala Dunia FIFA di antara Portugal dan Serbia di stadium Luz, Lisbon pada 14 November. – AFP

    Selepas mara ke kelompok empat terakhir Piala Dunia dan kalah pada final Euro menerusi penalti di Wembley, England yang dipenuhi pemain berbakat pasti akan menjadi pasukan perlu ditewaskan.

    Gareth Southgate mempunyai pemain dengan kualiti terbaik yang boleh digunakan selepas tampak mudah dalam saingan kelayakan peringkat kumpulan.

    Keyakinan Luis Enrique terhadap Sepanyol yang diketuai bakat muda terbukti berbaloi, apabila pasukannya bakal menyerlah di Qatar seperti ditunjukkan dalam saingan Euro dan Liga Negara-Negara.

    Hanya tewas di tangan Perancis pada final Liga Negara-Negara hasil tindakan menyelamat hebat Hugo Lloris dan gol Mbappe, Sepanyol menyerlah hasil permainan hantaran baik selain pemilihan pemain tiada pengalaman seperti Gavi.

    Hanya satu kekurangan mereka apabila tidak memiliki penjaring berkaliber dengan Alvaro Morata masih belum meyakinkan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda