SYDNEY, 11 APRIL – FIFA meramalkan Piala Dunia Wanita di Australia dan New Zealand akan menjadi titik perubahan yang melonjakkan permainan ke tahap yang lebih tinggi, dengan sasaran akhirnya menyaingi versi lelaki.
Bola sepak wanita sudah pun menikmati lonjakan populariti di beberapa negara, dan kejohanan itu nampaknya bakal mencetuskan lagi minat global.
Berbaki 100 hari sebelum sepak mula, ketua pegawai bola sepak wanita FIFA, Sarai Bareman memberitahu NewsCorp Australia dalam komen yang diterbitkan hari ini bahawa lebih dua bilion penonton dijangka menonton, dua kali ganda kejohanan sebelumnya di Perancis, yang dimenangi oleh Amerika Syarikat.
Rekod tertinggi kehadiran juga diramalkan, dengan 650,000 tiket telah pun terjual. Fasa jualan seterusnya dibuka pada hari ini.
Bareman berkata dia percaya acara itu akan menjadi titik perubahan utama dan pemacu kepada perubahan sosial, mewujudkan model peranan untuk gadis muda dan membantu mempromosikan kesaksamaan jantina.
“Orang ramai akan berkata, ‘Itulah detik yang mengubah segala-galanya dan membawa permainan ke peringkat seterusnya’,” katanya.
“Dan itu melibatkan setiap aspek, baik secara komersial, penyertaan, populariti, mahupun pertumbuhan.
“Saya fikir orang ramai akan benar-benar melihat ke belakang dan memilih Piala Dunia Wanita di Australia dan New Zealand sebagai detik penting di mana pertumbuhan, yang sudah pun berkembang pesat, baru sahaja melangkah ke peringkat seterusnya.”
Bareman, bekas pemain antarabangsa Samoa kelahiran New Zealand, berkata matlamat utama adalah untuk mengembangkan kejohanan itu untuk menyaingi versi lelaki dan meletakkan wanita pada kedudukan yang sama dari segi gaji.
“Kami tahu Piala Dunia Lelaki adalah sumber utama pendapatan untuk FIFA dan bola sepak, dan itu menjana lebih daripada AS$5 bilion setiap edisi, dan itu sasaran yang jelas untuk bola sepak wanita,” katanya. – AFP