Piala Jerman: Bayern kelu disingkir kelab kerdil

BERLIN, 14 JAN – Ketua jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick terkelu melihat pasukannya selaku juara bertahan itu tersingkir daripada saingan Piala Jerman semalam apabila tewas kepada pasukan kerdil dari divisyen dua, Holstein Kiel yang menang menerusi sepakan penentuan penalti 6-5 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

“Ia amat mengejutkan. Kami sangat kecewa,” kata Flick kepada Sky selepas tamat perlawanan itu.

“Lebih mengecewakan kami apabila dibolosi yang menyebabkan pasukan lawan mampu menyamakan kedudukan 2-2 pada masa kecederaan. Tahniah kepada Kiel.

“Kami harus melupakan kekalahan ini dan terus cuba melakukan yang terbaik,” tambah Flick.

Penyerang Bayern, Thomas Mueller berkata, kekalahan itu adalah sangat ‘sadis’.

Reaksi pemain Kiel ketika meraikan kemenangan mereka menewaskan Bayern Munich semasa perlawanan pusingan kedua Piala Jerman antara Holstein Kiel dan Bayern Munich di Stadium Holstein semalam. – AP

Ini adalah kali pertama Bayern disingkirkan pada saingan itu kepada bukan pasukan Bundesliga sejak tewas kepada pasukan divisyen empat, Magdeburg pada musim 2000/01.

Ia juga adalah kali pertama juara Eropah itu disingkirkan daripada saingan berkenaan sejak Flick mengambil alih tugas selaku jurulatih bermula November 2019.

Selepas pemain tengah Bayern, Marc Roca gagal menjaringkan sepakan penalti pertama pasukannya, Fin Bartels berjaya menjaringkan sepakan penalti kemenangan untuk Holstein Kiel.

Bayern mendahului perlawanan 2-1 menerusi jaringan gol Serge Gnabry dan Leroy Sane sebelum ketua pasukan Kiel, Hauke Wahl menemukan gol penyamaan di minit ke-95 untuk membawa perlawanan itu ke masa tambahan dan kemudiannya ke sepakan penentuan penalti.

“Ia mungkin nampak teruk apabila tewas kepada pasukan bukan pilihan. Tetapi nasib pada kali ini tidak menyebelahi kami,” kata Mueller.

“Ini pastinya bukan fasa terbaik FC Bayern. Kekalahan teruk, kita harus membiarkannya tenggelam terlebih dahulu,” tambahnya ketika juara Eropah itu juga mengalami kekalahan 3-2 di liga menentang Borussia Moenchengladbach, Jumaat lalu.

FA Jerman membenarkan Bayern untuk menangguhkan kejohanan tersebut pada akhir Disember lalu.

Bayern menurunkan pasukan utama dengan hanya penjaring terbanyak mereka, Robert Lewandowski yang menjaringkan gol kedua di separuh masa kedua dan Jerome Boateng bermula di bangku simpanan.

Jaringan Lewandowski melalui hantaran Gnabry memberikan Bayern gol pendahulu selepas hanya 14 minit diturunkan. – AFP