Saturday, July 26, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Piala Ryder kembali ke Sepanyol tahun 2031

    BARCELONA, 24 JULAI – Penganjur pada Selasa mengumumkan bahawa kejohanan golf berprestij, Piala Ryder, akan kembali ke Sepanyol pada tahun 2031.

    Camiral Golf and Wellness yang terletak berhampiran Girona, Catalonia, telah dipilih sebagai lokasi bagi edisi ke-48 pertandingan dwitahunan antara pasukan Eropah dan Amerika Syarikat.

    “Costa Brava dan Barcelona yang menakjubkan akan menjadi latar bagi Piala Ryder 2031, menyambut kehadiran pelawat antarabangsa dari seluruh dunia ke sebuah wilayah yang terkenal dengan pantai yang memukau, hospitaliti bertaraf dunia dan warisan budaya yang kaya,” menurut kenyataan rasmi Piala Ryder Eropah.

    Kali terakhir Sepanyol menjadi tuan rumah kejohanan ini ialah pada tahun 1997 di Valderrama, Andalusia, dengan pasukan Eropah muncul juara di bawah pimpinan legenda golf, Seve Ballesteros, selaku kapten.

    Kejohanan tahun 2031 itu bakal menjadi kali pertama sebuah negara Eropah benua (selain United Kingdom) menjadi tuan rumah Piala Ryder buat kali kedua.

    “Menganjurkan Piala Ryder buat kali kedua 34 tahun selepas edisi bersejarah di Valderrama – akan meletakkan Sepanyol sebagai penanda aras antarabangsa dalam penganjuran acara sukan bertaraf dunia,” kata Presiden Majlis Sukan Sepanyol, Jose Manuel Rodriguez Uribes.

    “Tidak diragui, pemilihan ini juga merupakan penghormatan kepada legasi golf Sepanyol dan komitmen berterusan negara kami terhadap dunia sukan.”

    Camiral, yang terletak di bandar spa kecil Caldes de Malavella, pernah menganjurkan Kejohanan Terbuka Sepanyol sebanyak tiga kali.

    Piala Ryder 2025 akan berlangsung di Farmingdale, New York pada bulan September, diikuti oleh County Limerick, Ireland pada tahun 2027. – AFP

    Piala Ryder dipamerkan di Camiral Golf & Wellness pada 27 Jun di Girona, Sepanyol. Camiral Golf & Wellness akan menjadi tuan rumah Piala Ryder 2031. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda