KUALA LUMPUR, 2 MEI – Impian skuad badminton Malaysia untuk sekurang-kurangnya melangkah ke separuh akhir buat kali ketiga berturut-turut dalam saingan Piala Sudirman 2025, lebur di tangan jaguh dunia China selepas tewas 0-3 dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Gimnasium Fenghuang, Xiamen, China, hari ini.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, China ‘mengganas’ sejak awal permainan untuk menjadikan Malaysia mangsa seterusnya dalam misi mempertahankan takhta 13 kali kejuaraan dan impian menjulang gelaran keempat berturut-turut sejak 2019.
Ia bermula dengan perlawanan beregu campuran apabila gandingan tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Pin menampilkan aksi kemas dan bertenaga untuk menundukkan pasangan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, 21-17 dan 21-17 dalam masa 49 minit.
Ee Wei yang ditemui selepas perlawanan mengakui kesilapan mudah yang banyak dilakukan menjadi punca kekalahan mereka dan ia sesuatu yang perlu diperbaiki untuk perlawanan akan datang.
“Terima kasih kepada semua peminat Malaysia yang menyokong tetapi kami juga minta maaf sebab tidak dapat berikan mata pertama buat negara,” katanya menerusi audio dikongsikan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kegagalan mengatasi tekanan awal memberi tamparan besar kepada kem negara apabila kekebalan Shi Yu Qi selaku perseorangan lelaki utama China terus menambah derita dengan mengalahkan Leong Jun Hao 6-21 pada set pertama.
Jun Hao cuba bangkit dengan mengikat kedudukan 12-12 pada set kedua namun Yu Qi kekal tenang dan melancarkan serangan padu untuk menamatkan set dengan kemenangan 21-14, sekali gus meraih mata kedua buat China. – Bernama
