LOS ANGELES, 1 MEI – Bintang legenda bola keranjang, LeBron James menyatakan dia akan mengambil sedikit masa sebelum memutuskan sama ada akan kembali beraksi untuk musim ke-23 dalam NBA, selepas Los Angeles Lakers tersingkir di pusingan pertama playoff kepada Minnesota Timberwolves, kelmarin.
“Saya tak pasti,” kata James ketika ditanya berapa lama lagi dia akan terus bermain. “Saya perlu duduk berbincang dengan keluarga, isteri dan kumpulan sokongan saya. Kami akan bincangkan dan buat keputusan berdasarkan perasaan serta keinginan diri saya.”
James, yang berusia 40 tahun pada 30 Disember lalu, mencatat purata 24.4 mata, 7.8 rebound dan 8.2 assist setiap perlawanan musim ini. Walaupun pelbagai pencapaian dicatat, James masih gagal menambah kejuaraan kelima dalam kariernya – selepas menjulang trofi bersama Miami pada 2012 dan 2013, Cleveland pada 2016 dan Lakers pada 2020.
Mac lalu, dia menjadi pemain pertama dalam sejarah NBA mencecah 50,000 mata sepanjang karier, selain menyertai Michael Jordan sebagai satu-satunya pemain yang menjaringkan 40 mata pada usia 40 tahun, ketika mencatat 42 mata dalam kemenangan ke atas Golden State.
Musim ini juga menyaksikan kemasukan Luka Doncic dari Dallas Mavericks, yang memberikan semangat kepada Lakers, namun gagal mengubah nasib pasukan dalam kempen playoff. – AFP
