Friday, May 2, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Piala Sudirman 2025: Malaysia ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan C

    KUALA LUMPUR, 1 MEI – Hasrat Malaysia untuk mengungguli Kumpulan C tidak kesampaian apabila tunduk 2-3 kepada Jepun dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, kejohanan badminton Piala Sudirman 2025 di Gimnasium Fenghuang, Xianmen, China hari ini.

    Setelah mendahului dengan kedudukan 2-0, momentum skuad negara goyah apabila Jepun bangkit dengan aksi bertenaga mendominasi tiga perlawanan sekali gus melayakkan diri ke suku akhir selaku juara kumpulan.

    Beregu wanita kedua dunia, Nami Matsuyama-Chiharu Shida muncul wira apabila menyumbang mata kemenangan Jepun, menewaskan gandingan negara Pearly Tan-M Thinaah 21-18, 18-21, 21-18 dalam pertarungan selama satu jam 23 minit.

    Thinaah ketika ditemui selepas perlawanan mengakui kehilangan tumpuan pada detik penting menyebabkan mereka tewas dalam perlawanan tersebut.

    “Pada awalnya corak permainan kami okey, tapi kami terlalu banyak memberi peluang kepada lawan. Pihak lawan pula bijak mengambil peluang untuk bermain dengan lebih agresif,” katanya menerusi rakaman audio dikongsi oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

    Pada perlawanan hari ini, Malaysia mengutip mata pertama menerusi gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menewaskan kombinasi bidan terjun atau scratch pair, Hiroki Midorikawa-Arisa Igahashi 21-19, 21-18 dalam 39 minit.

    Momentum itu diteruskan oleh perseorangan lelaki, Leong Jun Hao yang mengejutkan pemain di ranking kelapan dunia Kodai Naraoka 21-8, 13-21, 21-18 untuk menggandakan mata buat skuad negara.

    Pemain berusia 25 tahun itu berkata beliau mengekalkan strategi sama seperti sebelum ini untuk berdepan jaguh Jepun itu, yang terbukti berkesan sekali gus memberikan kemenangan keempat daripada lima pertemuan dengan Naraoka. – Bernama

    Toh Ee Wei dan Chen Tang Jie ketika menentang Hiroki Midorikawa-Arisa Igarashi pada saingan Piala Sudirman di Xiamen, China, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda