Piala Super Itali milik Juventus

REGGIO EMILIA, 21 JAN – Andrea Pirlo berjaya meraih trofi pertamanya sebagai jurulatih apabila Juventus berjaya mengalahkan Napoli dalam perlawanan akhir Piala Super Itali semalam.

Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke-20 musim ini hasil jaringan pada minit ke-64 melalui sepakan sudut di Reggio Emilia, sebelum ketua pasukan Napoli, Lorenzo Insigne gagal menjaringkan penalti dan Alvaro Morata menambah gol kedua pada masa kecederaan.

Pirlo, 41, meraih trofi pertama selepas lima bulan memegang jawatan sebagai jurulatih Juve dan sebelum ini sebagai pemain beliau pernah membantu Juventus meraih empat kejuaraan liga.

“Memenangi trofi pertama sebagai jurulatih adalah sangat menggembirakan, berbeza ketika menjadi pemain, malah ia lebih istimewa,” kata Pirlo yang pernah meraih trofi berkenaan sebanyak tiga kali ketika menjadi pemain Juventus dan AC Milan.

Juventus memenangi trofi itu setiap tahun iaitu pertembungan antara juara liga dan juara bertahan Piala Itali, untuk kesembilan kalinya, setelah naib juara tahun lalu disandang oleh Lazio.

Pasukan Juventus ketika meraikan kemenangan final Piala Super Itali selepas menewaskan Napoli di Stadium Mapei seamalm. – AP

“Trofi ini sangat penting kerana ia boleh meningkat keyakinan kami bagi baki perlawanan musim ini,” kata Ronaldo.

Juventus kini berada di kedudukan kelima di Serie A, 10 mata di belakang pendahulu, AC Milan selepas kalah 0-2 kepada pasukan di tangga kedua, Inter Milan hujung minggu lalu.

“Memenangi Scudetto adalah sangat mustahil, Milan dan Inter sangat kuat namun masih banyak lagi perlawanan perlu dimainkan selepas ini dan kami masih boleh melakukannya,” kata Ronaldo.

Ia juga adalah pertemuan pertama antara Pirlo dan jurulatih Napoli, Gennaro Gattuso, yang memenangi Piala Dunia bersama-sama pada 2006 dan menghabiskan masa selama sedekad sebagai rakan sepasukan di AC Milan.

Kedua-dua mereka juga berjaya meraih kejuaraan Serie A dan Liga Juara-Juara bersama-sama sebanyak dua kali.

Mereka belum pernah bertemu selepas Napoli menolak untuk pergi ke Turin dalam perlawanan liga Oktober lalu kerana kes koronavirus.

“Saya minta maaf untuk Gennaro Gattuso, tetapi kami ingin bertindak balas setelah kekalahan menentang Inter Milan,” kata Pirlo.

“Kami bertaruh banyak kepada para pemain, kami ingin menunjukkan bahawa kami adalah satu pasukan.” – AFP