CHENGDU, 3 MEI – Skuad badminton Malaysia berdepan tugas getir dalam misi ‘memecahkan’ tembok besar China pada saingan separuh akhir Piala Thomas 2024, sekali gus mencipta sejarah melangkah ke perlawanan akhir selepas 10 tahun, di sini.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menuntut barisan pemain Malaysia untuk tampil garang bagi melenyapkan sorakan penyokong tuan rumah yang dijangka memenuhi Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone menyaksikan perlawanan pada 5 petang, esok.
“Saya lihat China memiliki kekuatan pemain perseorangan sama rata antara satu sama lain manakala peluang beregu mereka dengan kita pula 50-50.
“Dengan status sebagai tuan rumah, mereka mungkin mempunyai tekanan. Malaysia harus ambil peluang tersebut untuk memberikan persembahan terbaik dan hanya menikmati perlawanan separuh akhir esok,” katanya kepada media Malaysia di sini.
Malaysia mara ke separuh akhir selepas lapan tahun dengan menyingkirkan juara 2014, Jepun 3-1 manakala China pula menundukkan juara bertahan India juga 3-1, semalam.
Rexy pada masa sama mengingatkan para pemain agar tidak terbuai dengan kejayaan mengecewakan Jepun dan kembali fokus untuk berdepan China. – Bernama