Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) menerima cek tajaan daripada Hui Huang Enterprise dalam majlis penyerahan cek tajaan sekali gus mengumumkan tarikh kejohanan Piala Bola Keranjang You-C1000 yang akan berlangsung di Gelanggang BBA, Batu Bersurat, pada 25 Jun ini.
Kejohanan tersebut diadakan bersempena dengan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76.
Hadir pada majlis penyerahan itu ialah Presiden BBA, Goh Kiat Hing, yang menerima cek tajaan bernilai $13,000 daripada Pengurus Hui Huang Enterprise, Katherine Hii.
Perlawanan tersebut dimulakan semula memandangkan aktiviti-aktiviti dan pertandingan sukan dilonggarkan sejak awal bulan ini.
Sementara itu, seperti pertandingan pada tahun-tahun sebelumnya, kategori wanita juga turut dipertandingkan.
Sebagai tambahan pada pingat dan trofi, pemenang Piala You-C1000 Terbuka Lelaki akan membawa pulang hadiah berupa wang bernilai $2,888. Manakala, naib juara akan menerima $1,888 dan tempat ketiga pula akan membawa pulang $888.
BBA juga ingin memaklumkan bahawa tarikh pendaftaran akan berakhir pada 18 Jun ini.
