TOKYO – Di dalam auditorium berpanel kayu di salah sebuah dewan konsert paling berprestij di Tokyo, Kiwa Usami yang berusia 24 tahun hanya menekan satu jari telunjuk di piano dan memainkan lagu Beethoven Ode to Joy, diiringi orkestra dan koir.
Usami, yang menghidap palsi serebrum, adalah salah seorang daripada tiga pemuzik kelainan upaya yang membuat persembahan Symphony No 9 bersama Yokohama Sinfonietta di Suntory Hall pada Khamis menggunakan piano dijana kecerdasan buatan (AI).
Untuk membantu pemain, ‘Anybody’s Piano’ mengesan nota muzik dan menyerlah lagi prestasi dengan menambah apa sahaja kekunci yang diperlukan tetapi tidak ditekan.
Usami, yang mula bermain piano semasa di sekolah rendah, membantu memberikan inspirasi kepada program AI. Dedikasinya untuk berlatih dengan satu jari mendorong gurunya bekerja dengan syarikat gergasi muzik Jepun, Yamaha.
Hasil kolaborasi mereka telah menyaksikan versi baharu piano Yamaha yang bermain secara automatik, yang dikeluarkan pada 2015. Persembahan Krismas pada Khamis adalah konsert pertama seumpama itu.
“Ia merupakan pengalaman yang sangat hebat untuk mengadakan persembahan bersama orkestra,” beritahu Yurina Furukawa yang berusia 10 tahun kepada AFP selepas sesi latihan pada Rabu.
‘Anybody’s Piano’ membenarkan Furukawa, yang mempunyai masalah otot yang jarang ditemui dipanggil miopati kongenital dan memerlukan bantuan pernafasan, untuk membuat persembahan dari atas katil yang terletak di hadapan piano besar.
Mengekalkan irama dengan menggerakkan lengan kirinya, dia menekan kekunci dengan kuat menggunakan belakang tangan kanannya, dengan piano berbantukan AI mengisi nota untuk melengkapkan persembahan.
Tidak seperti piano automatik yang lebih tradisional, ‘Anybody’s Piano’ berhenti jika pemain tersalah menekan not muzik.
“Apabila saya terlepas kunci atau bermain dengan perlahan, saya boleh merasakan tekanan daripada piano untuk meneruskan dan menekan kekunci yang betul,” kata penghibur Hiroko Higashino, 39.
Higashino, yang dilahirkan dengan tiga jari di tangan kanannya, hanya mula belajar bermain piano selepas program konsert ‘Anybody’s Symphony No. 9’ diumumkan.
“Jika piano membantu saya dan menambah dua kekunci yang hilang untuk saya, saya boleh mencipta semula harmoni yang kaya, muzik yang Beethoven ingin nyatakan,” katanya.
Seramai 130 orang penonton yang menyaksikan persembahan Krismas itu menyifatkan persembahan sebagai amat berinspirasi.
“Sudah lama saya tidak mengalami pengalaman menggetarkan jiwa seperti ini,” kata Teruko Imai, seorang penonton konsert berusia 60an.
“Ia adalah hadiah Krismas terbaik bagi saya.”
Seorang lagi peserta, Koki Kato, 16, berkata dia berasa ‘sangat terharu’.
“Piano membolehkan sesiapa sahaja membuat persembahan, yang merupakan perkara yang sangat baik untuk muzik juga.” – AFP