Wednesday, March 26, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Piastri muncul juara di Grand Prix China

    SHANGHAI, 23 MAC – Oscar Piastri memuji jentera McLaren yang dianggapnya sebagai ‘hebat’ selepas memenangi Grand Prix China hari ini, yang kemudian dibayangi oleh pembatalan keputusan Lewis Hamilton dan Charles Leclerc dari Ferrari akibat pelanggaran teknikal.

    Pierre Gasly dari Alpine turut dikenakan penalti selepas Piastri mengetuai kemenangan satu-dua untuk McLaren, dengan Lando Norris di tempat kedua.

    Hampir tiga jam selepas bendera penamat dikibarkan, steward perlumbaan mendapati kereta Leclerc dan Gasly mempunyai berat kurang daripada minimum 800 kilogram, manakala kereta Hamilton mengalami kehausan berlebihan pada plank di bahagian bawahnya.

    Leclerc pada mulanya menamatkan perlumbaan di tempat kelima dan Hamilton di tempat keenam, tetapi mata mereka telah dilucutkan, dengan semua pelumba di bawah mereka dinaikkan satu tempat.

    Gasly yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 sudah pun berada di luar kedudukan mata. Keputusan ini menyaksikan Esteban Ocon naik ke tempat kelima, diikuti Kimi Antonelli (keenam), Alex Albon (ketujuh) dan Oliver Bearman (kelapan). Lance Stroll dan Carlos Sainz pula dinaikkan ke tempat kesembilan dan ke-10 untuk mengutip mata.

    Ia merupakan penamat yang mengecewakan bagi Ferrari selepas kejayaan Hamilton memenangi perlumbaan pecut pada hari Sabtu, yang merupakan kemenangan pertamanya bersama pasukan baharu itu.

    ‘Plank assembly’ ialah plat gelincir yang direka untuk haus apabila lantai kereta terkena bonggol atau permukaan tepi trek. Jika ia terlalu haus, kereta boleh berada lebih dekat dengan trek, meningkatkan daya turun ‘ground effect’ yang memberi kelebihan dalam prestasi.

    Dalam perlumbaan, Piastri kekal tenang untuk bangkit daripada kekecewaan akibat terbabas pada penghujung perlumbaan pembukaan musim di Melbourne seminggu lalu.

    Sejak saat dia menangkis cabaran George Russell dari Mercedes di selekoh pertama, Piastri menguasai sepenuhnya perlumbaan sepanjang 56 pusingan di Litar Antarabangsa Shanghai sejauh 5.451km, sekali gus meraih kemenangan ketiga dalam karier Grand Prixnya. – AFP

    Pemandu McLaren, Oscar Piastri dari Australia, mengemudi keretanya semasa perlumbaan Grand Prix Formula 1 China di Litar Antarabangsa Shanghai, Shanghai, pada 23 Mac. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda